MCMC, PDRM digesa siasat tindakan Albert Tei terhadap Fahmi - SEKPUR
- Helmi Mohd Foad

- 21 minutes ago
- 3 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat tindakan individu dikenali sebagai Albert Tei terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil termasuk dakwaan mengganggu beliau ketika menghadiri sebuah majlis rasmi.
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) Shahbudin Embun berkata, kebebasan bersuara termasuk mengkritik Perdana Menteri, Menteri atau mana-mana pemimpin kerajaan perlu dipertahankan namun hak itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan gangguan, intimidasi, penghinaan atau ancaman.
"Kritik kerajaan boleh. Kritik Menteri boleh. Tidak bersetuju dengan dasar kerajaan boleh.
"Tetapi mengugut, mengganggu secara berulang atau menyebarkan tuduhan palsu jika terbukti memenuhi unsur kesalahan, bukan lagi soal kebebasan bersuara.
"Demokrasi memerlukan ruang untuk kritikan, tetapi demokrasi juga mempunyai sempadan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahbudin yang juga seorang penganalisis politik berkata, perhatian serius perlu diberikan terhadap insiden membabitkan Albert yang didakwa “menyerbu” Fahmi ketika Menteri Komunikasi itu tiba di sebuah majlis rasmi.
Menurutnya, perkara itu lebih membimbangkan sekiranya kejadian berkenaan dirakam dan kemudiannya disebarkan melalui media sosial sebagai bahan untuk menyerang atau mengaibkan menteri.
"Jika benar berlaku sedemikian, perkara ini tidak lagi wajar dilihat semata-mata sebagai ‘kritikan politik’," katanya.
Beliau berkata MCMC seharusnya meneliti keseluruhan corak tindakan yang didakwa dilakukan individu terbabit dan tidak mengehadkan penelitian kepada satu video atau hantaran media sosial sahaja.
Katanya, penelitian itu boleh merangkumi dakwaan hantaran dan video yang dibuat secara berulang terhadap Fahmi, bahasa serta tuduhan digunakan, atau sama ada terdapat fakta yang palsu.
Selain itu, katanya, MCMC juga boleh melihat pengulangan serta penyebaran kandungan dan dakwaan terkait antara tindakan fizikal di lapangan dengan kempen kandungan digital.
"Dalam konteks komunikasi elektronik, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) wajar diberi perhatian oleh MCMC sekiranya fakta dan kandungan yang disiasat memenuhi unsur-unsur kesalahan yang ditetapkan oleh undang-undang.
"Kita tidak mengatakan seseorang itu bersalah hanya kerana dia menghasilkan video. Sebaliknya, kita meminta MCMC menentukan sama ada kandungan dan corak komunikasi tersebut memenuhi elemen undang-undang," katanya.
Dalam pada itu, Shahbudin berkata PDRM pula perlu meneliti aspek fizikal dan keselamatan berhubung kejadian terbabit, khususnya dakwaan Albert menghalang atau mendekati menteri ketika beliau menjalankan tugas rasmi.
Katanya, sekiranya siasatan mendapati berlaku halangan terhadap tugas penjawat awam, penggunaan kekerasan, intimidasi atau ancaman sebagaimana didakwa, polis boleh menilai peruntukan Kanun Keseksaan berkaitan termasuk Seksyen 186, 353, 503 dan 506, tertakluk kepada fakta serta elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.
"Seksyen-seksyen tersebut tidak boleh digunakan secara semberono. PDRM perlu menentukan terlebih dahulu apakah sebenarnya berlaku di tempat kejadian, siapa yang terlibat, apakah tindakan fizikal yang dilakukan dan apakah niat individu berkenaan," katanya.
Pada masa sama, Shahbudin menegaskan SEKPUR tidak meminta mana-mana individu dihukum semata-mata kerana mengkritik kerajaan sebaliknya mahu siasatan dilakukan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti.
Menurutnya, semua bahan digital berkaitan juga perlu dipelihara termasuk video asal, tarikh dan masa hantaran, akaun digunakan, komen, siaran langsung serta kandungan terdahulu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
"Jika tiada kesalahan, biarlah siasatan membuktikannya. Namun jika terdapat bukti menunjukkan berlakunya kesalahan di bawah undang-undang maka tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa takut dan tanpa pilih kasih," tegasnya.
Beliau berkata media sosial tidak boleh menjadi kawasan bebas undang-undang sehingga membolehkan mana-mana pihak melakukan gangguan, ugutan atau intimidasi terhadap seseorang sesuka hati.
"Jangan kerana seseorang itu mendakwa dirinya aktivis, wartawan, pengkritik atau pejuang kebebasan bersuara maka dia dianggap kebal daripada undang-undang.
"Begitu juga, jangan seseorang dihukum hanya kerana mengkritik kerajaan. Undang-undang mesti menjadi hakim bukan emosi, bukan politik," katanya.




Comments