MCMC panggil individu fitnah menteri guna keratan palsu
- Suara Keadilan

- 7 days ago
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3 secara salah bertujuan mengelirukan orang ramai.
Menurut suruhanjaya itu, seorang individu yang disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan, dan keterangannya dirakam oleh pihak MCMC di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak.
Susulan itu, pihaknya turut menyita telefon bimbit dan satu kad SIM milik individu tersebut bagi tujuan analisis forensik digital.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu pada Isnin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, turut menegur seorang pemilik laman Facebook, Syafinas Abu Bakar yang berkongsi hantaran palsu di Facebook.
Hantaran itu mendakwa beliau membuat kenyataan bahawa TikTok Malaysia akan ditutup kerana merugikan negara.
Sementara itu, MCMC menekankan agar masyarakat sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial.
Langkah itu bagi mengelakkan penyebaran kandungan palsu yang boleh membawa implikasi undang-undang.









Comments