top of page

MCMC menang kes fitnah Murray Hunter

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 16
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memenangi kes saman fitnah terhadap individu bernama Murray Victor Hunter selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memutuskan beliau bertanggungjawab menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu.


Dalam keputusan yang dibuat pada 15 Oktober, mahkamah mendapati Hunter telah menerbitkan beberapa artikel antara April hingga November 2024 yang mengandungi dakwaan palsu dan tidak berasas terhadap MCMC.


Menurut kenyataan media MCMC hari ini, penerbitan artikel berkenaan telah mengelirukan orang ramai serta menjejaskan reputasi suruhanjaya itu sebagai badan pengawal selia komunikasi dan multimedia negara.


“Keputusan mahkamah ini mengesahkan bahawa walaupun setiap individu mempunyai hak untuk bersuara, kebebasan itu mesti diamalkan secara bertanggungjawab dan dalam batas undang-undang.


"Hak bersuara tidak meliputi perbuatan membuat kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang mencemarkan nama baik pihak lain,” kata kenyataan itu.


MCMC menjelaskan tindakan undang-undang tersebut diambil bagi melindungi reputasi institusi serta menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan komunikasi bertanggungjawab dalam ekosistem digital.


Murray Hunter, seorang warga Australia yang menetap di Malaysia sejak beberapa tahun lalu, dikenali sebagai penulis bebas dan sering memuat naik artikel berkaitan isu politik serta dasar kerajaan Malaysia di beberapa platform dalam talian.


Sebelum ini, beliau pernah dikaitkan dengan beberapa penulisan yang mendakwa berlaku salah urus dan campur tangan politik dalam agensi kerajaan termasuk MCMC yang kemudiannya dinafikan oleh pihak berkuasa.


Keputusan mahkamah itu dilihat sebagai mesej penting terhadap penyebaran maklumat palsu di ruang siber serta memperkukuh usaha kerajaan memastikan kebebasan bersuara diamalkan dengan tanggungjawab dan beretika.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page