top of page

MCMC bertemu platform e-dagang, fokus lindung pengguna, ekosistem

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
10 hours ago
2 min read
Pengerusi MCMC, TS Mohamad Salim Fateh Din (kanan sekali) bertemu wakil platform e-Dagang membincangkan perlindungan pengguna dalam ekosistem e-dagang
Pengerusi MCMC, TS Mohamad Salim Fateh Din (kanan sekali) bertemu wakil platform e-Dagang membincangkan perlindungan pengguna dalam ekosistem e-dagang

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang, kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelaras langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta keselamatan ekosistem e-dagang negara.


MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, sesi berkenaan merupakan tindakan susulan terhadap kebimbangan awam berkaitan keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.


Menurutnya, langkah itu selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengenai keperluan memperkukuh kawal selia melalui kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan dan penyedia platform.


"Selain aspek keselamatan dan perlindungan pengguna, sesi ini turut menekankan keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seimbang antara perniagaan dalam talian dan premis fizikal.


"Perbincangan turut mengambil kira maklum balas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan mengenai kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan mereka, termasuk implikasinya kepada industri kurier," kata kenyataan itu.


MCMC berkata, perbincangan juga memberi tumpuan kepada tanggungjawab platform dalam memperkukuh pengesahan identiti penjual dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan produk yang ditawarkan mematuhi keperluan undang-undang serta ketetapan agensi berkuasa.


"Platform perlu meningkatkan pemantauan dan penggunaan teknologi bagi mengesan serta mengambil tindakan pantas terhadap penyenaraian barangan terlarang, berbahaya atau tidak mematuhi undang-undang," katanya.


Menurut MCMC, semua usaha berkenaan bertujuan memenuhi keperluan mekanisme kerjasama yang lebih tersusun antara platform dan agensi kerajaan, selain memastikan siasatan serta tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing dan tertakluk kepada undang-undang yang terpakai.


"MCMC akan meneruskan penyelarasan bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memastikan langkah susulan yang praktikal dalam memperkukuh perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang dan akauntabiliti platform ke arah ekosistem e-dagang yang lebih selamat dan dipercayai," kata kenyataan Komunikasi Korporat MCMC itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page