MCMC bangunkan Instrumen subsidiari Akta Keselamatan Dalam Talian 2025
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi memperkukuh aspek keselamatan siber negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, instrumen tersebut memberi fokus kepada perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pengurusan risiko, selaras dengan usaha membendung penyebaran maklumat tidak tepat dan kandungan memudaratkan di platform digital.
"Selain itu, MCMC juga sedang meneliti keperluan untuk penyedia perkhidmatan melaksanakan pelabelan kandungan yang dijana secara automatik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Langkah ini bertujuan membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang berpotensi mengelirukan, manipulatif atau tidak sahih," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan sama ada kerajaan akan menggubal undang-undang bagi mewajibkan penerbit kandungan meletakkan label pada kandungan yang dijana atau dimanipulasi AI.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang diuruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
"Jawatankuasa ini akan dianggotai pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil penyedia perkhidmatan berlesen, dan berfungsi menasihati serta memberi syor kepada MCMC berhubung isu keselamatan dalam talian.
"Selain itu, penyedia perkhidmatan turut diwajibkan menyediakan pelan pematuhan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti terhadap kewajipan yang digariskan di bawah Akta 866," jelasnya.