MCMC anjur program KIS, perhebat didik guna Internet beretika
- Suara Keadilan

- Oct 31
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Komunikasi terus memperkasa usaha mendidik generasi muda menggunakan Internet secara beretika dan selamat melalui penganjuran Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), program yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semalam merupakan kesinambungan pelaksanaan KIS yang sebelum ini telah dijalankan di 419 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Pahang.
"Seramai 304 pelajar daripada 76 buah sekolah di daerah Raub dan Bentong telah menyertai karnival ini," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Karnival dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah, serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Antara pengisian utama program ialah taklimat kesedaran dan aktiviti interaktif bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan Internet secara selamat dan beretika.
"Turut serta dalam program itu ialah mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, pelajar Kolej Komuniti Raub, Majlis Pengakap Negeri Pahang, Komuniti MADANI, Penghulu Mukim daerah Raub, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kejiranan Rukun Tetangga (KRT), Majlis Belia Daerah Raub serta pemimpin komuniti setempat," tambahnya.
Sementara itu, Fahmi dipetik laporan media di acara itu memaklumkan, setakat pertengahan Oktober, sebanyak 6,000 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan program KIS, dan pihaknya menyasarkan semua sekolah akan diliputi menjelang tahun hadapan.
"Kita ada lebih 10,000 sekolah, dan setakat pertengahan Oktober kita telah capai 6,000 sekolah. Saya jangkakan menjelang pertengahan atau suku ketiga tahun depan, kita dapat selesaikan pelaksanaan di semua sekolah," katanya.









Comments