MCMC, ANATEL Brazil jalin kerjasama kukuh bidang ICT
- Suara Keadilan
- 27 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia dan Brazil melangkah setapak ke hadapan dalam kerjasama digital apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh hubungan dalam bidang Telekomunikasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Detik bersejarah itu disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan yang bermula pada 17 November hingga 28 November.
"MoU itu adalah penting agar pihak MCMC mempunyai kerjasama dengan rangkaian badan kawal selia di Amerika Selatan yang membolehkan pertukaran pengalaman antara kedua-dua pihak," katanya.
Dalam pemeteraian MoU itu, MCMC diwakili Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin manakala ANATEL diwakili Presidennya Carlos Manuel Baigorri.
Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan empat tahun sekali itu, menzahirkan rasa optimis pasukan negara akan meneruskan perbincangan dengan perkongsian bermakna untuk hala tuju sektor komunikasi antarabangsa.





