top of page

MBSA diminta pantau pokok tua susulan insiden di Shah Alam - Najwan

  • 26 minutes ago
  • 1 min read

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi (gambar), menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera susulan insiden pokok tumbang yang mengakibatkan kecederaan membabitkan dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, semalam.


Beliau berkata, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau telah menghubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan meminta agar pemantauan rapi dilakukan terhadap pokok-pokok tua di sekitar laluan utama.


"Saya telah berhubung dengan pihak MBSA dan meminta agar mereka memantau serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pokok-pokok tua yang berada di sekitar laluan utama," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pokok-pokok yang dikenal pasti mempunyai struktur akar yang semakin lemah dan mereput wajar diganti melalui penanaman semula pokok-pokok baharu bagi menjamin keselamatan orang ramai.


"Pokok-pokok tua yang didapati memiliki struktur akar yang semakin lemah dan mereput sewajarnya diganti dengan penanaman semula pokok-pokok baharu," ujarnya.


Dalam pada itu, Najwan turut mendoakan agar kedua-dua mangsa insiden berkenaan, Dr. Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, dikurniakan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan.


Beliau berharap langkah pencegahan yang lebih proaktif dapat diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page