MBK, komuniti lepas 30,000 anak benih ikan patin sempena merdeka
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 2 min read
Updated: Sep 12

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 baru baru ini, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bersama komuniti setempat telah menjayakan program pelepasan lebih 30,000 anak benih ikan patin di Kolam KebunKu MBK, Taman Seri Inderapura. Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, yang juga pencetus inisiatif ini.
Program anjuran Jabatan Kemasyarakatan dan Pelancongan MBK itu merupakan langkah perintis bagi mengukuhkan penglibatan komuniti dalam penjanaan ekonomi setempat serta mengeratkan kerjasama antara penduduk dengan pihak berkuasa tempatan.
Fakhrul Anuar yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan berkata, enam sub-komuniti telah bergabung menjayakan projek ini, iaitu Persatuan Penduduk Taman Seri Inderapura (PEKERTI) sebagai ketua projek, Persatuan Penduduk Perumahan Bunut Rendang (PESBREND), KRT Jiranita Taman Seri Inderapura, Masjid Al-Ittifaqiyyah, PIBG SK Bunut Rendang serta KRT Perumahan Inderapura Jaya.
"Komuniti ini mewakili semua kaum dan agama sesuai dengan kemajmukan komuniti perumahan di sini dengan anggaran penduduk melebihi 10,000 orang
"Menerusi projek ini, anak benih ikan patin bersaiz 1 inci diasuh dan dibesarkan di 6 buah kolam sehingga mencapai saiz 3 inci ke atas sebelum dijual kepada penternak-penternak ikan patin sangkar di sekitar negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan.
Projek asuhan ikan patin itu dijangka mengambil tempoh 1 hingga 2 bulan bagi setiap kitaran sebelum hasilnya dipasarkan.
Fakhrul menambah, semua peserta amat bersemangat dan berterima kasih kepada Datuk Bandar MBK yang telah meluluskan projek ini melalui sokongan Ahli Majlis.
Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Kejiranan dan Kepimpinan (PKK) Kumpulan Rentas Parti APPGM-SDG, yang sebelum ini telah menjayakan lima program kejiranan sepanjang 2024–2025.
Dengan kejayaan pelepasan fasa pertama ini, projek KebunKu MBK diyakini mampu menjadi model komuniti inklusif dan mampan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.









Comments