top of page

MBM seru rakyat Malaysia hadir Himpunan Mega Rakyat Demi Palestin esok

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Mar 1, 2024
  • 2 min read


Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dalam demonstrasi besar besaran 'Himpunan Mega Rakyat Demi Palestin' yang akan dianjurkan esok di ibu negara Kuala Lumpur.


Menurut Ketua Penerangan MBM, Mohammad Fazril Mohd Saleh, himpunan bagi membantah genosid yang dilakukan rejim Israel itu adalah salah satu langkah yang diatur Jawatankuasa Bertindak Belia Malaysia Memerdekakan Palestin yang dibentuk MBM dalam mesyuarat pada 25 Feb lalu bagi menggerakan kempen yang lebih teratur mendesak dunia membela rakyat Palestin.


"Jawatankuasa Bertindak yang baru dibentuk ini telah diberikan mandat untuk menyelenggara kegiatan advokasi, kempen kesedaran, gerakan boikot, serahan memorandum, aksi unjuk rasa dan segala aktiviti yang berkaitan dalam usaha secara lebih tersusun ke arah perjuangan memerdekakan Palestin," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, jawatankuasa tersebut ketika ini telah mengadakan Seruan Munajat Seluruh Negara pada 29 Februari 2024, bermula Maghrib dan hari esok merupakan Serahan Memorandum Bantahan dan Teguran Tegas kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.


"Kegiatan-kegiatan ini sebagai suatu seruan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak berasa lelah dalam memperjuangkan isu Palestin dan kembali menyemarak perjuangan ini bersama-sama.


"Malaysia adalah negara yang dipandang tinggi di peringkat global atas kelantangannya dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin, dan konsistensi ini adalah sangat dituntut.


"Oleh yang demikian, bersempena Himpunan Mega Rakyat Demi Palestin pada hari Sabtu ini, MBM menyeru seluruh warga Malaysia hadir memberikan sokongan dan bersolidariti bersama untuk bersatu mendesak gencatan senjata kekal, demi menghentikan genosid di Gaza, serta menamatkan penjajahan dan pengakhiran dasar apartheid Israel," katanya.


Tambah Fazril, rakyat Malaysia perlu menunjukkan keprihatinan ke atas penderitaan rakyat Palestin yang terus menerus dibunuh meskipun Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu telah melakukan pelbagai kecaman mendesak Israel melakukan gencatan senjata.


"Adalah menghairankan, resolusi demi resolusi yang diluluskan di forum antarabangsa seperti PBB tidak mampu menghentikan tindakan pembunuhan setiap hari oleh Israel.


"Tambahan lagi, perlecehan oleh rejim Zionis terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 jelas menunjukkan mereka adalah suatu bangsa biadab yang tidak akan menghormati kedaulatan undang-undang.


"Justeru, disyorkan agar PBB dengan cara dan kaedah tertentu mendapatkan mandat negara-negara dunia untuk mula menghantar pasukan pengaman ke Gaza bagi memastikan gencatan senjata dilakukan segera dan genosid dihentikan serta-merta, seterusnya mengheret penjenayah dunia ke muka pengadilan," katanya lagi.


Peperangan di Gaza sehingga kini telah memakan korban mencecah 30,000 orang merangkumi lebih 12,300 orang kanak-kanak dan 8,400 orang wanita, serta mencederakan lebih 70,000 orang yang tidak mendapat rawatan sempurna dan terdedah kepada wabak penyakit serta kelaparan.


Tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan AS esok akan bermula pada jam 2:00 petang, demonstran akan bergerak dari Masjid Tabung Haji menuju Padang Merbok, Kuala Lumpur.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page