MB T'ganu jangan label politik negara sebagai “komang spanar”
- Suara Keadilan

- Aug 26, 2025
- 2 min read

Kenyataan terbaru Menteri Besar Terengganu yang melabel kepimpinan negara sebagai “politik low class” atau “politik komang spanar” selepas mendakwa tidak dijemput ke program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 dan 23 Ogos lalu disifatkan sebagai tidak matang.
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Dungun, Syed Mohd Al Amin Tuan Sharif berkata, alasan kononnya tidak menerima undangan rasmi bukan sebab untuk mempersoalkan usaha kerajaan pusat yang berusaha mendekati belia melalui penganjuran acara nasional tersebut.
"RXZ 7.0 adalah acara nasional yang menghimpunkan ribuan anak muda daripada seluruh negara. Ia bertujuan menggalakkan budaya permotoran berdisiplin serta menyemarakkan ekonomi tempatan.
"Soal jemputan bukanlah alasan untuk menghina usaha kerajaan pusat yang berusaha mendekati belia. Seorang pemimpin berwibawa sepatutnya meraikan peluang ini, bukannya merajuk kerana tidak mendapat undangan rasmi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, tindakan Menteri Besar menggunakan bahasa sindiran seperti “politik komang spanar” hanyalah menunjukkan kecetekan ilmu politik beliau.
"Jika benar beliau seorang pemimpin kelas tinggi, beliau tentu mampu berhujah dengan fakta, data dan dasar – bukannya dengan bahasa sindiran seperti itu. Politik matang tidak berdiri atas cercaan, sebaliknya atas gagasan untuk membela rakyat," ujarnya.
Syed Mohd menambah, ketika rakyat Terengganu berdepan isu kos sara hidup, kekurangan perumahan mampu milik untuk anak muda serta peluang pekerjaan yang terbatas, Menteri Besar seolah-olah lebih ghairah berpolitik di pentas ceramah berbanding mencari solusi ekonomi.
"Adakah ini yang dimaksudkan sebagai “politik kelas tinggi”? Adakah juga dianggap politik berkelas tinggi jika wang gaji penjawat awam negeri pun dibayar hasil "rayu-merayu" kepada kepimpinan negara di Putrajaya?" soalnya.
Justeru, beliau menyeru agar Menteri Besar menumpukan tenaga kepada tadbir urus negeri dan menghormati usaha kerajaan pusat yang dijalankan di Terengganu.
Rakyat, katanya amat memerlukan kepimpinan dengan gagasan bernas dan tindakan berkesan dalam menghadapi kemelut ekonomi dan peluang kerja terbatas di negeri itu.









Comments