MB T'ganu desak siapkan LPT3: Kenapa tiada buat waktu Pas jadi kerajaan?
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Foad
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan sebagai "tamak" apabila mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menyiapkan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sedangkan projek itu tidak diberikan fokus ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah selama 33 bulan (2020 - 2022) sebelum ini.
Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz (gambar) berkata, kenyataan Samsuri di Parlimen baru-baru ini yang menggambarkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan meminggirkan Terengganu sedangkan pelbagai projek besar sedang berjalan di negeri itu amat tidak wajar.
"Samsuri kena cermin diri dulu, cadang supaya Kerajaan pusat sekarang menyiapkan LPT perlu RM9.8 bilion, padahal waktu Pas berada dalam Kerajaan PN 33 bulan, ia tidak beri fokus untuk siapkan?
"Bajet 2026 perlu utamakan Lebuhraya CSR Bentong - Kuala Krai yang lebih mendesak untuk pembangunan ekonomi kawasan pendalaman Pahang - Kelantan dan kosnya cuma RM7 bilion," katanya dalam hantaran di Facebook.
Samsuri ketika dalam sesi Parlimen baru-baru ini yang mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan terhadap projek LPT3, mendakwa ia masih “tersangkut” walaupun telah diutarakan sejak lama.
Antara persoalan yang beliau kemukakan termasuk model pembiayaan atau operasi projek dan bila LPT3 akan mula dilaksanakan secara konkrit.
Beliau menegaskan Terengganu sebagai negeri Pantai Timur berhak mendapat projek lebuh raya berimpak tinggi seperti LPT3 bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Syam berkata LPT2 sekarang tamat di Kg Gemoroh, Kuala Nerus yang membolehkan perjalanan untuk ke Kuala Terengganu cuma sejauh 14 kilometer.
"Bermakna Terengganu sudah dapat lebuh raya! Kelantan juga negeri Pas menang, langsung tak ada lebuh raya. Keutamaan kerajaan sekarang bangunkan Pahang - Kelantan," ujarnya.
Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa projek CSR (Central Spine Road) dari Bentong ke Kuala Krai dan projek ECRL (East Coast Rail Link) jauh lebih penting untuk diberi keutamaan kerana memberi manfaat lebih besar kepada rakyat di Pantai Timur.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa Terengganu terpinggir daripada agenda pembangunan, sambil menyenaraikan beberapa inisiatif yang diluluskan Kerajaan Perpaduan di bawah Belanjawan 2025 lalu.
Kata beliau, kerajaan merancang banyak projek kepada Terengganu di bawah Belanjawan 2026 antaranya naik taraf jalan luar bandar dan penghubung kampung termasuk jajaran Jalan Kampung Tok Adis–Kampung Banggol dengan peruntukan sejumlah RM3.3 bilion bagi projek infrastruktur luar bandar.
"Projek mitigasi banjir dan saliran utama seperti RTB Sungai Buaya (Kuala Nerus) dan RTB Anak Sungai Ibai (Kuala Terengganu) di bawah dana nasional RM2.2 bilion," ujarnya selain peningkatan kemudahan pendidikan dan kesihatan daerah, termasuk pembaikan sekolah dan fasiliti kesihatan setempat.
Tambah beliau peruntukan pembangunan Persekutuan untuk Terengganu turut naik daripada RM1.4 bilion (2022) kepada RM1.8 bilion (2025).
Katanya lagi, perbandingan bajet antara negeri pembangkang juga membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak mengamalkan diskriminasi politik, malah menambah peruntukan kepada semua negeri di bawah pentadbiran Pas dan PN.
"Kelantan naik dari RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion, Terengganu RM1.4 bilion kepada RM1.8 bilion, Kedah RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion, Perlis RM400 juta kepada RM600 juta. Semua meningkat antara 25 hingga 50 peratus. Itu bukti keadilan sebenar. Anwar tidak pilih kasih," katanya.
Beliau turut menjelaskan tumpuan utama Kerajaan kini adalah menyiapkan ECRL bernilai RM74.96 bilion yang kini mencapai kemajuan 68 peratus dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026.
"ECRL akan menjana pelaburan RM60 bilion di sepanjang koridor industri Pahang–Terengganu–Kelantan. Inilah pelan sebenar untuk melonjakkan ekonomi Pantai Timur, bukan sekadar janji pilihanraya," katanya.
Syam menegaskan, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membalas politik dengan politik, sebaliknya membalas dengan projek dan kemudahan rakyat.
"Anwar tidak berdendam. Beliau membalas dengan jalan raya, rel, sekolah, hospital, projek tebatan banjir dan peluang pekerjaan.
"LPT sudah sampai ke Terengganu. CSR sedang menuju ke Kota Bharu. ECRL akan menyatukan seluruh Pantai Timur dengan Lembah Klang. Inilah bukti Anwar bekerja untuk rakyat, bukan untuk warna bendera parti," ujarnya.
Comments