MB Selangor, Zainul Rijal bincang isu rumah ibadat tanpa kebenaran
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Satu perjumpaan dan diskusi melibatkan Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif berlangsung kelmarin.
Dalam muat naik di media sosial, Datuk Zainul berkata, pertemuan yang diatur oleh Menteri Besar itu sangat bermanfaat dalam mencari solusi membanteras isu rumah ibadat tanpa kebenaran di Selangor yang tular dan meresahkan pada waktu ini.
"Alhamdulillah perjumpaan dan diskusi diaturkan sendiri oleh YAB Datuk Menteri Besar Selangor sangat bermanfaat ke arah solusi membanteras rumah anutan haram di Selangor.
"Saya juga telah menarik perhatian YAB tentang kenyataan beliau sebelum ini dan difahamkan akan situasi beliau," katanya dalam satu kenyataan.
Zainul Rijal turut menyifatkan MB bersikap terbuka terhadap kritikan serta memberi ruang kepada cadangan yang dikemukakan.
"Beliau terbuka dengan kritikan saya dan mendengar dengan penuh perhatian solusi yang diberikan. Moga permasalahan ini dapat diselesaikan.
"Terima kasih YAB Datuk Seri Menteri Besar," ujarnya.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau sendiri telah meneliti pelbagai reaksi masyarakat susulan kenyataan media yang dikeluarkan sejurus selesai Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor sebelum ini.
"Antara pandangan yang saya teliti ialah daripada Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Pengerusi PPMM dan seorang peguam syarie yang terkemuka. Saya telah menghubungi beliau dengan niat untuk mengajak berjumpa dan berbincang," katanya.
Menurut Amirudin, pertemuan yang berlangsung pada petang Selasa itu berjalan dalam suasana santai tetapi sarat dengan input serta pandangan bernas.
"Saya sangat meraikan semua pandangan ke arah menjamin sebuah penyelesaian yang tuntas. Kerajaan Negeri optimis bahawa setiap isu boleh ditangani dan diselesaikan dengan baik melalui percambahan idea seumpama ini yang penuh terbuka, matang dan konstruktif," katanya lagi.
Amirudin turut merakamkan penghargaan atas kesudian Zainul Rijal serta pasukan PPMM untuk hadir berbincang meskipun dalam tempoh cuti umum, sebagai komitmen bersama mencari penyelesaian terbaik demi keharmonian negeri.
Untuk rekod, sebelum ini Datuk Zainul mengkritik keputusan Mesyuarat MKN Negeri Selangor terutama hak pemilik tanah untuk bertindak merobohkan binaan haram melibatkan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan di tanah kerajaan dan persendirian.









Comments