Program Senandung Aidilfitri yang diadakan secara maya mendapat sambutan hangat apabila disaksikan lebih 2,000 jumlah tontonan daripada netizen pada hari raya kedua Aidilfitri dalam bulan Syawal.
Malah, program yang bersiaran secara langsung pada 9 malam melalui saluran selangortv.my dan Youtube SelangorTV turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta turut serta dalam ruangan komen dan memberikan pandangannya secara santai bersama rakyat negeri Selangor.
Di ruangan komen juga turut disertai Exco-exco Selangor seperti Rodziah Ismail, Izham Hashim; Dr Siti Mariah Mahmud dan Zawawi Mughni.
Oleh sebab itu, Senandung Aidilfitri dijadikan sebagai satu rancangan secara rakaman di mana ia memperkenalkan kandungan serta keunikan negeri Selangor kebudayaan dan kehidupan masyarakatnya.
Selebriti terkemuka tanah air, Raja Azura, Salih Yaacob dan Ropie Cecupak bergandingan sebagai pengacara program.
Penonton disajikan dengan beberapa sketsa yang turut menampilkan Che Puan Juliana Evans yang menyertai sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima Inisiatif Peduli Rakyat.
Kemunculan artis-artis popular seperti Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker dan Aisyah mendendangkan lagu raya turut menjadi bualan hangat.
Malah, penyanyi Ahmad Yassin mengejutkan ramai apabila memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais.
Program anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Gaya Travel akan diulang siar melalui Facebook Media Selangor jam 3 petang pada 3 Syawal.
Comments