top of page

MB Selangor seru hayati Rukun Negara, bukan sekadar hafalan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 19
  • 1 min read

ree

Masyarakat khususnya generasi muda diseru agar menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai asas pembentukan jati diri sejak di bangku sekolah.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menegaskan, Rukun Negara bukan sekadar hafalan atau bacaan ikrar semata-mata, sebaliknya perlu dihayati dan diamalkan sebagai pegangan hidup


"Rukun Negara bukan sekadar lima prinsip di atas kertas tetapi satu falsafah negara yang memperkukuhkan nilai-nilai bersama dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum.


"Ia mengajak kita semua supaya bersatu padu, menghormati undang-undang serta kepercayaan kepada Tuhan, mengangkat keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kesopanan serta tatasusila," katanya dipetik.


Pesanan itu disampaikan menerusi video amanat khas yang dipancarkan secara serentak ke sekolah seluruh Selangor sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 peringkat negeri pada Isnin.


Menerusi program itu, sebanyak 944 sekolah menyertai bacaan ikrar Rukun Negara dengan diketuai Menteri Besar.

Sementara itu menurut Amirudin, semangat cintakan negara perlu dipupuk di peringkat sekolah. Dalam masa sama budaya menjaga nama baik sekolah dan keluarga, menghormati guru dan rakan-rakan perlu disemai sejak awal kepada pelajar.


"Negara kita tidak akan mampu berkembang dari sudut ekonomi, politik dan sosial jika rakyatnya sering terpecah dan saling curiga.


"Justeru sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62 ini merupakan masa terbaik untuk rakyat kembali menyemai semangat patriotisma dan memahami nilai yang membentuk negara," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page