
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengucapkan rasa syukur kerana umat Islam di Selangor khususnya melalui ibadah Ramadan dengan tenang dan tenteram sehingga ke penghujung bulan puasa dan akan meraikan Hari Raya Aidilfitri esok.
Beliau yang menunaikan umrah di Mekah berkata demikian dalam satu siaran media.
"Kita telah sampai ke akhir Ramadan mubarak tahun ini dan diberi kesempatan sekali lagi untuk menikmati dan hadir bersama sama dalam madrasah Ramadan kali ini.
"Bersama dengan persiapan hari raya sudah pasti ramai yang merancang ingin pulang ke kampung," katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat yang mahu pulang ke kampung mengambil langkah berjaga jaga dan memberi tahu pihak polis dengan cara scan kepada kod QR yang kini telah disediakan.
MB juga menasihatkan agar pengguna jalan raya berhati hati ketika memandu dan mengikuti nasihat terkini mengenai keadaan lalu lintas
"Ikuti nasihat Lembaga Lebuhraya dan juga pengendali lebuhraya dalam memastikan jadual pergerakan teratur. Berhati hati di jalan raya dan pastikan kita mampu untuk berhari raya dengan gembira bersama dengan keluarga. Salam Aidilfitri. Hari raya gembira dengan semua," katanya lagi.