'MB Sanusi seru berhimpun, kehadirannya tidak pasti, dikecam'
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Srikandi KEADILAN Malaysia mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyokong himpunan 'Turun Anwar' Sabtu ini, namun pada masa sama menyatakan kehadirannya bergantung kepada kelapangan.
Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia, Nurhidayah Che Rose (gambar) berkata tindakan itu sebagai pengecut dan tidak berprinsip, selain mempergunakan rakyat untuk kepentingan politik, namun enggan komitmen untuk tampil bersama.
''Lebih mengecewakan, Sanusi memilih untuk mempolitikkan inisiatif kerajaan Persekutuan (diumumkan pada Rabu) yang jelas bertujuan membantu rakyat.
''Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai langkah pro-rakyat antaranya penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, pengurangan bil elektrik dan peluasan program SARA kepada semua yang layak.
''Ini (tindakan) hanya mendedahkan keangkuhan politik beliau (Sanusi). Lebih parah, beliau menghasut rakyat untuk menyertai perhimpunan yang bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat, malah boleh membebankan mereka dari segi kewangan dan keselamatan,'' bidas beliau dalam satu kenyataan.
Hakikatnya, Nurhidayah menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan Kedah, meskipun negeri itu ditadbir pembangkang.
Beliau berkata, antara peruntukan yang telah disalurkan termasuk RM723.7 juta untuk pembangunan di Lembah Chuping, RM132 juta bagi Fasa Lima Kulim Hi-Tech Park dan RM13 juta bantuan pascabanjir untuk rakyat Kedah.
Oleh itu katanya, Sanusi sepatutnya bersikap lebih matang dan berjiwa pemimpin.
''Terimalah kenyataan bahawa Kerajaan Perpaduan komited untuk membela nasib rakyat secara inklusif tanpa mengira negeri atau fahaman politik.
''Fokus kerajaan kini adalah menjamin kestabilan, pemulihan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat bukan bermain retorik jalanan.
''Kami menyeru rakyat khususnya anak muda dan wanita, untuk menolak politik kebencian dan memilih jalan kemajuan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa,'' ujarnya lagi.









Comments