
Oleh: Vijeyndran Ravichadran
PANDANGAN: Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor jelas telah memperlekehkan intelektual dan pertimbangan DYMM Sultan Selangor dengan melontarkan singgungan terhadap pelantikan MB Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Tindakan seperti ini bukan saja merupakan persendaan terhadap kedaulatan institusi diraja dan raja-raja Melayu, tetapi juga membuktikan ketidaksopanan dan kekurangan dalam pemahaman beliau terhadap sistem demokrasi yang sedang berkembang di negara kita.
Sanusi juga melemparkan kritikan peribadi, menyusupkan pembohongan terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketidakinginan Sanusi untuk mengakui dan mempertimbangkan realiti serta cadangan yang dikemukakan oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan menggambarkan betapa rapuhnya rasa hormat beliau terhadap YDPA sebagai Ketua Negara, dan tindakan ini dengan jelas melanggar prinsip “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” yang dijunjung tinggi dalam Rukun Negara.
Pemberi dan penerima rasuah
Dalam kenyataan terbarunya, Sanusi telah mengaitkan masyarakat bukan Islam di Malaysia sebagai pemberi dan penerima rasuah yang paling banyak. Tuduhan ini merupakan perkara serius yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Namun, yang lebih memburukkan keadaan adalah kenyataan ini hanya berasaskan pada anggapan umum tanpa asas yang kukuh.

Kenyataan seperti ini, yang tidak bertanggungjawab hanya akan merosakkan iklim sosial dan memburukkan hubungan antara kaum.
Sebagai masyarakat yang berfikiran kritis, kita mempunyai hak untuk mencabar kenyataan-kenyataan yang dibuat tanpa asas fakta yang kukuh. Kita menggesa Sanusi menyediakan laporan atau bukti yang dapat menyokong kesimpulannya tersebut dengan adil dan terbuka.
Jikalau beliau tidak dapat memberikan bukti yang kukuh, Sanusi sepatutnya mengambil langkah yang bijaksana dengan memohon maaf secara terbuka dan menjernihkan keadaan.
Laksana strategi politik murahan
Gejala rasuah adalah satu isu yang perlu diperangi secara bersama-sama dan ianya tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum tertentu. Setiap individu yang terlibat dalam rasuah haruslah didakwa tanpa mengira latar belakang kaumnya. Ini adalah prinsip asas yang perlu kita pegang teguh sebagai masyarakat yang beradab. Memperjuangkan integriti dan kejujuran adalah tanggungjawab bersama kita.
Muncul pertanyaan, apakah fitnah dan penghinaan kini telah menjadi strategi utama bagi Sanusi dan Perikatan Nasional (PN) untuk terus-menerus meraih sokongan politik murahan dengan menggelembungkan isu-isu tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi?
Sebagai Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi sepatutnya menjadi contoh teladan yang cemerlang dalam memelihara hubungan baik dengan institusi diraja dan memperlihatkan tahap penghormatan yang sewajarnya. Namun, beliau hanya mempamerkan kualiti yang lemah dan kekurangan pemahaman dalam nilai-nilai “Kesopanan dan Kesusilaan”. Ini pada masa yang sama mencerminkan ketidakmampuan beliau dalam memimpin masyarakat dengan progresif.
Hayatilah prinsip Rukun Negara
Saya menyeru Sanusi untuk bersungguh-sungguh menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang merupakan prinsip asas utama sebagai seorang Rakyat Malaysia memandangkan beliau tidak memiliki pemahaman yang kuat mengenai prinsip-prinsip tersebut.
Pada masa sama, saya ingin menekankan kepada Pas betapa pentingnya menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara ini dan menanamkan prinsip tersebut kepada semua pemimpin mereka. Dengan begitu, Pas dapat dengan teguh memelihara prinsip-prinsip Rukun Negara demi kepentingan negara kita.
Sudah tiba masanya bagi rakyat Kedah untuk memilih wakil rakyat negeri yang berkualiti tinggi, berintegriti, dan progresif. ADUN kawasan anda berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan anda, manakala Menteri Besar adalah pembangun masa depan rakyat.
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Wangsa Maju