Lebih 300 anak muda hadiri program dakwah dan tayangan Piala Dunia di masjid
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Lebih 300 jemaah, majoritinya golongan muda, menghadiri program dakwah yang menggabungkan pengisian kerohanian dan tayangan perlawanan Piala Dunia di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pendekatan tersebut merupakan sebahagian usaha dakwah yang lebih inklusif dengan mendekati minat golongan muda.
"Siapa kata ‘vibes’ bola sepak Piala Dunia tidak boleh dibawa masuk ke masjid? Kita raikan minat anak muda sambil menyebarkan kebaikan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, program bermula dengan qiyamullail dan sesi tawsiyah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan sebelum diteruskan dengan tayangan perlawanan Piala Dunia 2026.

Perlawanan Kumpulan E itu menyaksikan Jerman menewaskan Ivory Coast 2-1 dalam aksi dramatik, sekali gus menarik perhatian para jemaah yang hadir.
"Usai pengisian kerohanian, para jemaah berpeluang menonton tayangan skrin besar perlawanan sengit Kumpulan E Piala Dunia 2026 antara The Mannschaft (Jerman) dan Les Éléphants (Ivory Coast).
"Sebelum ini tular video pasukan Ivory Coast yang diketuai oleh Oumar Diakité, membaca doa ketika sesi latihan," katanya.
Tambah beliau, program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas pemain bola sepak tempatan legenda Selangor dan kebangsaan, Coach Shahril Arsat dan Khushairi Aizad (bekas pemain Piala Presiden Selangor FA dan AirAsia AllStar FC) yang memberikan ulasan mengenai perlawanan.
Selain itu, suasana unik turut tercipta apabila beliau bersama beberapa pemimpin agensi agama turun padang menyediakan makanan untuk jemaah.
"Yang paling menarik jam 4 pagi, saya bersama Sahibus Samahah Mufti Wilayah, Datuk Nizam Yahya, CEO MAIWP dan Datuk Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, sempat turun padang tunjuk 'skill' menebar roti canai untuk semua jemaah," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi termasuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM, MAIWP dan JAWI yang menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, pendekatan dakwah secara berhikmah perlu diteruskan bagi memastikan mesej agama dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.




Comments