Perikatan Nasional (PN) akan terus berdepan masalah menarik sokongan sekiranya Pengarah Pilihanraya gabungan itu, Datuk Seri Sanusi Md Nor terus diangkat sebagai ikon pada setiap kali pilihanraya.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Razeef Rakimin berkata, Sanusi merupakan antara punca pengundi di Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai menolak gabungan itu.
Sikap Sanusi yang celupar dan angkuh, katanya, jelas kurang disenangi pengundi Pelangai.
"Pada pandangan saya, PN akan terus bermasalah jika terus menggunakan orang biadab seperti Sanusi sebagai ikon mereka.
"Namun penolakan jelas mula dilihat selepas Sanusi mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Perdana Menteri yang menyampaikan khutbah Jumaat di New York, Amerika Syarikat (AS).
"Kenyataan berkenaan dilihat seolah cuba memperbodohkan penduduk DUN Pelangai dan sebagai tindak balas, penyokong PN sendiri memboikot ceramah mega gabungan tersebut yang dianjurkan di Dataran Purnama lima hari lalu, dan selepas itu ceramah PN mula kelihatan hambar," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, tambah Razeef, tindakan Sanusi yang mempergunakan isu agama dan kaum bagi meraih sokongan juga turut kurang disenangi oleh rakyat.
Jelasnya, Pengerusi PN Kedah itu juga beberapa kali dilihat menggunakan perkataan lucah dalam membuat jenaka di ceramah umum.
"Tindakan pimpinan kerajaan yang tidak melayan kenyataan-kenyataan Sanusi (sepanjang kempen PRK Pelangai) memperlihatkan kematangan dan satu langkah tepat.
"Tindakan ini sekali gus menimbulkan kegusaran pimpinan PN kerana tidak ada seorang pun pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berjaya ditarik ke dalam perangkap 'badut' mereka," jelasnya lagi.
Comments