MB promosi Selangor Gateway to ASEAN ke Indonesia
- Redzuan Shamsudin
- Sep 27, 2023
- 1 min read

Menteri Besar (MB) Selangor giat mempromosikan Selangor Gateway to ASEAN ke peringkat antarabangsa.
Bagi tujuan berkenaan, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau telah bertemu dengan Yohanes Lukiman, Pengurus Bidang Internasional Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) serta perwakilannya di Jakarta.
Katanya, KADIN merupakan organisasi utama yang menghimpunkan usaha negara, usaha koperasi, dan usaha swasta yang menggiatkan aktiviti usahawan secara dua hala Indonesia - Malaysia.
"Pasukan saya disertai oleh YB Najwan Halimi, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Hasan Azhari selaku CEO Invest Selangor, Datin Paduka Mastura Muhamad, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.
"Saya kongsi kesediaan Selangor untuk menjalankan eksplorasi dalam bidang yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama seperti Taman Perindustrian Pintar dan Hijau bagi selaras dengan aspirasi ESG.
"Kebijakan seperti Waste-to-Energy, Keterjaminan Makanan, Perumahan Mampu Milik serta Bandar dan Negeri Pintar merupakan ruang yang ada untuk dijalankan kolaborasi dari segi kemasukan pelaburan ke Selangor serta membuka pintu bagi syarikat Selangor melabur di Indonesia," katanya.
Promosi ke Indonesia tersebut sesuai dengan hasrat yang diutarakan MB sebelum ini mahu melihat anak syarikat Kerajaan Negeri mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa pada tahun ini, terutama dalam sektor perumahan dan perkhidmatan.
"Walaupun masing-masing akan bersaing, saya menekankan kini masa paling tepat dan perlu untuk negara dan perusahaan di Asia Tenggara menggarap kekuatan bagi memastikan dekad ini adalah The Southeast Asian Century sebagai ruang demokrasi yang subur sebagai pelantar pembangunan ekonomi melalui pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat," katanya lagi.
Comments