MB Perlis kalah pemilihan, kenapa Pemuda Pas tidak desak letak jawatan?
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kekalahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Arau pada 21 Jun lalu bukan sekadar penolakan terhadap individu, tetapi turut dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa akar umbi parti itu sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti berkenaan.
Demikian reaksi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) susulan kekalahan Mohd Shukri dan pasukannya tempoh hari.
Malah sehingga kini, katanya, kepimpinan tertinggi Pas masih berdiam diri dan gagal mengambil sebarang langkah konstruktif, meskipun teguran terhadap kelemahan kepimpinan Mohd Shukri telah berulang kali dibangkitkan termasuk di pentas Muktamar Pas.
Katanya, kelemahan MB Perlis itu sepatutnya disambut dengan tunjuk perasaan sebagaimana pemuda parti itu mendesak Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan.
''Tiada pula kelihatan dan kedengaran suara kepimpinan Pemuda Pas Malaysia nak buat himpunan 'Turun Shukri' sedangkan mereka beria-ia nak buat himpunan 'Turun Anwar'.
''Sampai bila pimpinan Pas mahu menutup mata terhadap suara dan keresahan akar umbi mereka sendiri?
''Sampai bila rakyat Perlis perlu menjadi mangsa kepada perebutan kuasa dalaman yang berlarutan ini?'' soal beliau menerusi satu kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu berpendapat, pergolakan dalaman Pas telah memberi kesan terhadap pentadbiran negeri, termasuk mengakibatkan Kerajaan Negeri hilang tumpuan.
Kesan lain pula, kata Mahfuz, hal itu turut melibatkan keputusan-keputusan pentadbiran negeri menjadi lemah dan tidak konsisten.
''Rakyat hidup dalam ketidakpastian tanpa arah tuju yang jelas daripada Kerajaan Negeri.
''Kestabilan politik negeri merupakan asas utama kepada kestabilan hidup rakyat. Namun apabila parti yang menerajui pentadbiran negeri Perlis gagal menangani konflik dalaman, hilanglah tumpuan terhadap keperluan rakyat.
''Lebih parah, budaya menegur dianggap penderhakaan, dan suara akar umbi dipandang hina,'' tempelak beliau lagi.
Melihat kepada kemelut yang berlarutan tersebut, Mahfuz menyarankan agar Pas berhenti bermain politik sesama sendiri dan mula mendengar suara rakyat serta ahli bawahan mereka.
Jika tidak mampu memimpin dengan amanah dan adil, katanya, mandat wajar diserahkan semula kepada rakyat.
Tegas Mahfuz, rakyat Perlis berhak menikmati kepimpinan yang stabil, prihatin dan bertanggungjawab.
Comentarios