MB Negeri Sembilan gesa tambah bekalan vaksin


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menambah bekalan vaksin di negerinya.


Ini setelah beliau mendapati, kapasiti harian bagi operasi penuh semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah sebanyak 13,814 orang divaksin sehari, namun Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKKNS) hanya menerima secara purata 8,000 dos vaksin sehari.


Justeru, kerajaan negeri pada 11 Jun telah mengemukakan surat kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF Persekutuan) untuk menambah peruntukan vaksin.


"CITF Negeri Sembilan telah memohon supaya ditingkatkan peruntukan bekalan vaksin kepada 10,000 dos suntikan sehari yang melibatkan semua PPV Awam dan klinik kesihatan kerajaan.


"Kerajaan negeri juga telah menetapkan supaya 16 PPV Awam ini akan beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad apabila tambahan vaksin ini diterima.


“Tambahan kepada itu, kapasiti tujuh hospital swasta yang sedang beroperasi sebagai PPV Swasta boleh mengendalikan sehingga 2,100 dos vaksin sehari berbanding 1,600 dos yang diperuntukkan pada masa ini," kata Aminuddin.


Pada masa sama, katanya, perbincangan dengan klinik swasta melalui wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Negeri Sembilan juga telah diadakan pada 14 Jun lalu dan mendapati kesemua klinik swasta berkeupayaan untuk meningkatkan bilangan vaksinasi untuk setiap hari.


“28 klinik swasta ini dijangkakan mampu melaksanakan vaksinasi sebanyak 3,360 orang sehari berbanding 2,124 orang pada masa ini.


“Bagi tujuan tambahan vaksin di hospital dan klinik swasta Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri akan memohon supaya ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) meningkatkan peruntukan bekalan ini bagi mengoptimumkan kapasiti PPV Swasta,” katanya.


Selain daripada 72 PPV sedia ada, Aminuddin berkata bagi mempercepatkan proses vaksinasi dan imuniti kelompok di Negeri Sembilan, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan membuka satu PPV Mega di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai yang dianggarkan berkapasiti untuk menyuntik sebanyak 3,000 dos sehari.


“Satu lawatan dan perbincangan dengan CITF Persekutuan yang diurussetiakan bersama USIM telah diadakan pada 14 Jun lalu.


“Dengan segala usaha kerajaan negeri melalui tindakan yang diambil oleh CITF Negeri dan Pusat, kita menjangkakan dapat menaikkan vaksinasi harian daripada 13,184 orang sehari kepada lebih kurang 19,000 sehari.


“Ini bermakna dalam tempoh sebulan, jika dilaksanakan vaksinasi selama 25 hari, maka vaksinasi boleh dilakukan kepada 480,900 orang sebulan,” katanya.


Sehingga 15 Jun 2021, seramai 540,345 penduduk Negeri Sembilan telah mendaftar untuk menerima vaksin iaitu 66.3 peratus daripada sasaran.


Daripada jumlah tersebut, seramai 117,341 orang telah menerima dos pertama dan 67,127 daripadanya telah menerima dos kedua vaksinasi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER