top of page

MB N Sembilan wajar berundur secara terhormat - Kamil Munim

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
22 hours ago
1 min read

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim wajar berundur dengan terhormat susulan kemelut yang berlaku di negeri berkenaan, kata Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar).


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, polemik yang berlaku di negeri Adat Perpatih itu perlu diuruskan mengikut lunas undang-undang, apatah lagi selepas isu berkenaan dibawa ke mahkamah dan perintah injunksi telah dikeluarkan.


"Tidak wajar bagi seseorang raja pemerintah Melayu yang sedang bertakhta diperlakukan sedemikian rupa oleh gerombolan yang sering bercakap tentang soal mempertahankan kedudukan Melayu, Islam dan institusi diraja, akhirnya mereka sendiri yang mengkhianati amanah tersebut," katanya.


Muhammad Kamil berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi platform media sosial Penerangan AMK Malaysia.


Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan bahawa kedudukan institusi Raja-Raja Melayu perlu dihormati dan sebarang isu hendaklah diselesaikan mengikut proses serta saluran undang-undang yang tersedia.


Malam tadi, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan tiba di Ibu Pejabat Umno, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), bagi menghadiri perbincangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri berkenaan.


Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN akan mengadakan mesyuarat bersama 25 ADUN Negeri Sembilan daripada BN, Pas dan Wawasan di Ibu Pejabat Umno bertujuan mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.


Pada 21 September lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengumumkan pembatalan pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.


Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali,  keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.


Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page