MB Kedah perlu semak fakta, bukan main tuntut RM100 juta dari Pulau Pinang


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tuntutan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung bayaran sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan sebagai royalti pajakan tanah Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah tuntutan tidak masuk akal.


Beliau berkata, menurut tokoh sejarah Ahmad Murad Merican dari Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), tiada sebarang dokumen Perjanjian 1786 berhubung soal pajakan itu.


“Menteri Besar Kedah kita ini secara konsisten sebut dia nak tuntut duit bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah RM100 juta, kalau Pulau Pinang tak bagi dia akan sekat air ke Pulau Pinang, biar orang Pulau Pinang minum air selut.


“Saya politik tak lama 27 tahun, tapi tak pernah jumpa watak macam ini. Pada saya biarlah bila sudah menjawat jawatan itu, bercakap atas faktalah ada atau tidak dokumen 1786 itu.


“Kalau saya kemuka di sini kenyataan Dr Ahmad Murad Merican dari ISTAC, tokoh sejarah, dia kata dalam kajian dia dokumen itu itu tak wujud, jadi tak berbangkit soal pajakan,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.


Beliau juga menjelaskan, ketika dibawah pentadbiran kerajaan PH, tidak timbul isu Pulau Pinang perlu membuat bayaran pajakan kepada Kedah.


“Saya pernah jadi ADUN Kedah, memang dalam pembentangan bajet Kedah, tiap-tiap tahun ada pembayaran pajakan Seberang Perai RM10,000, hanya bila PH menjadi kerajaan untuk tujuan itu diberi RM20 juta secara ‘one off’ pada ketika itu, tapi yang namanya pajakan itu pakar sejarah sahkan tak ada dokumen ditemui, takkan Menteri Besar tak boleh semak.


“Jadi isunya adalah dia perlu hasil baharu, saya nak syor begini, di Kedah kawasan Hulu Muda, kawasan itu besar 25 hektar, jika kerajaan Kedah tak dibenar tebang balak sebab di situ punca sungai, empangan yang membekalkan 90% bekalan air di Kedah, 80% kepada Pulau Pinang dan 70 peratus kepada Perlis untuk pengairan sawah padi, sumber air bersih dan sebagainya termasuk nak kawal banjir.


"Jadi kalau tak dibenar tebang hutan itu kerajaan negeri boleh mengangkat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air supaya dibincang pampasan munasabah harga kepada Kedah untuk kekal kawasan hutan kerana tak boleh tebang balak, maka kerajaan persekutuan boleh pertimbang pampasan munasabah, supaya kehilangan hasil Kedah itu ditampung oleh pampasan, jadi hutan terpelihara, sumber air terjamin,” katanya.

0 comments