MB Kedah patut bela semua kaum, tempat beribadat hak asasi rakyat



Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan agar meneliti fungsi utama beliau sebagai MB dalam negeri yang penduduknya berbilang kaum.


Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, sebagai seorang pemimpin kerajaan, Sanusi seharusnya melayan secara saksama semua rakyat Kedah dan memberikan hak untuk mempunyai tempat ibadat yang sesuai di negeri itu.


Beliau berkata demikian mengulas status Kuil Sri Raja Muniswaran yang telah wujud sejak 30 tahun lalu tetapi kini diklasifikasikan oleh Kerajaan Negeri sebagai binaan haram kerana mahu membangunkan tapak kuil tersebut.


"Kerajaan Perikatan Nasional bukanlah kerajaan prihatin seperti digambarkan, berikutan tindakan dan kenyataan MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini berkenaan perobohan Kuil Sri Raja Muniswaran.


"Kita hormat kepada hak Perlembagaan dan penganut agama Hindu di Kedah patuh pada undang-undang. Kuil Sri Raja Muniswaran telah wujud selama 30 tahun dan hanya apabila kerajaan negeri mahu bangunkan tapak tersebut, persoalan ia dibina secara haram tiba-tiba timbul.


"Adakah pusat rekreasi lebih penting daripada tempat ibadat? Kamu adalah MB kepada rakyat, janganlah pilih bulu sehingga datang tempoh pilihan raya kelak baru terhegeh-hegeh mengejar undi," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ramanan lagi, kerajaan Kedah juga tidak memberi peruntukan untuk masyarakat India sebagaimana lazimnya di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, BN dan Pakatan Harapan sebelum ini.


Hal itu, menurut beliau akan memecahbelahkan perpaduan dalam negeri yang berbilang kaum kerana diskriminasi dan tindakan pro kepada kaum tertentu.


"Sikap sombong beliau terhadap komuniti minoriti wajar dibangkitkan kerana tiada peruntukan negeri untuk pembinaan kuil bagi tahun hadapan. Bukankah tugas seorang MB adalah untuk setiap bangsa, kaum dan agama?" tanyanya.


Baru-baru ini dalam Belanjawan Kedah 2021 Kerajaan Negeri tidak memberi peruntukan kepada masyarakat bukan Melayu di negeri itu. MB Sanusi malah berkata pada era pemerintahan BN, tiada bantuan diberikan kepada kaum India.


Hal itu menyebabkan MIC mengeluarkan bukti kaum India menerima beberapa jenis bantuan ketika pemerintahan BN.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio