
Kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kebelakangan ini disifatkan amat gopoh dan seringkali tidak mempunyai fakta tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari, kegopohan tersebut amat merugikan sehingga terkeluar kenyataan yang kurang matang dan menjejaskan hubungan antara Kerajaan Negeri - Persekutuan dan memperlihatkan kualiti kepemimpinan Sanusi yang di bawah standard mana mana MB di Malaysia.
"Saya merujuk kepada kenyaatan Sanusi pada Majlis Iftar Anak Kedah yang diadakan di Selangor baru-baru ini di mana beliau mendakwa ada usaha menyingkirkan beliau dari Majlis Kewangan Negara, dan akan digantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Sedangkan kita sedia maklum di bawah Perkara 108 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Majlis Kewangan Negara yang terdiri daripada Perdana Menteri, mana-mana Menteri lain yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, dan seorang wakil dari setiap Negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.”
"Kenyataan Datuk Seri Sanusi bukan sahaja mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat – walaupun acapkali berlaku sebegitu akibat dari kenyataan beliau yang lain – namun ia juga menunjukkan bahawa beliau mempersoal kebijaksaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Kedah dengan menyatakan seolah-olah Sultan Kedah mudah dipengaruhi.
"Tambahan pula, beliau sendiri mengaku bahawa beliau tidak mempunyai bukti kerana perkara itu belum terjadi. Pada saya, ini sebenarnya hanyalah spekulasi beliau semata-mata. Tidak lain, hanya ketakutan beliau terhadap bayangannya sendiri," kata Taufiq dalam satu kenyataan.
Bidas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, sebagai MB Sanusi tidak wajar mengeluarkan kenyataan berdasarkan spekulasi tanpa asas dan bukti yang kukuh.
Kenyataan seperti itu, katanya, hanya menimbulkan syak wasangka antara pemimpin dan seolah-olah tidak mempercayai sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Kedah.
"Kebijaksanaan Tuanku Sultan Kedah (dalam hal melantik wakil negeri) tidak wajar dipertikai, dan belum ada sebarang kenyataan dibuat.
"Saya sebagai pemimpin muda bercita-cita untuk melihat kematangan politik daripada pemimpin yang lebih senior. Beliau seharusnya lebih fokus untuk memikirkan tentang kesejahteraan rakyat. Jaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
"Beliau kini mewakili Negeri Kedah, bukan mewakili parti politik. Meskipun tidak sealiran dalam membawa ideologi politik, namun Sanusi perlu sedar bahawa fokus gerak kerja kepada rakyat perlu diberikan keutamaan dan perlu ada usaha ke arah mencari titik persefahaman, bukan terus mengeruhkan keadaan," katanya.
Kenyataan-kenyataan sebelum ini, kata Dr Taufiq, langsung tidak membantu membangun negeri Kedah sebagaimana diharapkan oleh rakyat.
Untuk rekod, Sanusi juga merupakan satu satunya ketua Kerajaan Negeri yang masih belum bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya meskipun selepas 4 bulan Anwar dilantik sebagai ketua kerajaan pusat.
Comentarios