MB Amirudin umum peruntukan tertinggi untuk sektor pendidikan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri menyatakan komitmen untuk memperkukuh sektor pendidikan sebagai langkah memastikan rakyat menikmati kemajuan secara menyeluruh.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menerusi Belanjawan Selangor 2026 yang dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam menterjemah usaha itu menerusi peruntukkan RM136.2 juta yang diumumkan untuk pendidikan dan pembangunan modal insan.
Jumlah itu meningkat lebih RM55 juta berbanding tahun lalu, sekaligus jumlah tertinggi dalam sejarah.
"Kerajaan Negeri sentiasa konsisten mencorak agenda pendidikan demi melakar masa depan rakyat dan negeri yang lebih makmur kerana kita percaya reformasi pendidikan bukan satu pilihan tetapi keperluan yang mustahak.
"Peruntukan ini membuktikan tekad Kerajaan Negeri dalam membangunkan generasi masa depan yang bakal menjadi harapan bangsa," katanya dipetik.
Peruntukan itu merangkumi RM93 juta untuk program pendidikan, RM3.7 juta bagi pembangunan modal insan dan sosial, serta lebih RM31.5 juta untuk Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas). Di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP), RM8 juta diperuntukkan bagi Hadiah Pengajian IPT, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Iltizam Anak Selangor (Anas).
Pada pembentangan itu, Amirudin turut memaklumkan, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam dengan peruntukan RM1 juta.
Program itu untuk memperkasakan keupayaan penjawat awam melalui kursus berimpak tinggi di dalam dan luar negara.









Comments