MB Aminuddin terbukti mampu mentadbir Negeri Sembilan dengan baik


Pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berprestasi tinggi dan mencapai banyak kemajuan sejak mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional pada 2018.
Ahli Dewan Negara, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, MB Aminuddin berjaya dalam aspek pembasmian kemiskinan, meningkatkan pelaburan, menambah peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri.
Katanya, Negeri Sembilan mengekalkan status “sifar miskin tegar” sejak penghujung tahun 2023 dan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencapai rekod tersebut.
Menurut Sheikh Umar, kejayaan tersebut disokong oleh pelbagai intervensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berjaya mengeluarkan ribuan Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kategori miskin tegar.
"Seramai 3,530 Ketua Isi Rumah berjaya dikeluarkan daripada kategori ‘miskin tegar’ pada hujung 2023. Kejayaan itu diteruskan dengan 1,697 KIR pada 2024 dan 2,275 KIR pada 2025," katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata, pencapaian tersebut disandarkan kepada laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ICU Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri.
Dalam aspek ekonomi, Sheikh Umar berkata Negeri Sembilan turut mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negeri iaitu RM19.1 bilion pada 2025, jauh melepasi sasaran asal RM10 bilion.
"Negeri Sembilan catat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negeri, iaitu RM19.1 bilion pada 2025. Jumlah ini bukan sahaja melepasi sasaran asal RM10 bilion, malah meningkat sekitar 160 peratus berbanding sebelumnya," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 295 projek pelaburan telah diluluskan dan dijangka mewujudkan 3,845 peluang pekerjaan baharu.
"Dalam ekonomi, bila pelaburan meningkat maknanya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, pertumbuhan perniagaan akan rancak dan pendapatan rakyat akan meningkat. Pelabur yakin terhadap kestabilan dan hala tuju negeri."
Sheikh Umar turut merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan kadar pengangguran Negeri Sembilan berada pada paras 2.4 peratus, lebih rendah daripada kadar nasional 2.9 peratus.
"Pada masa sama, pengangguran di Negeri Sembilan turun 13 peratus berbanding tahun sebelumnya. Maksudnya lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan apabila ekonomi negeri berkembang," katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi itu turut menyumbang kepada peningkatan hasil negeri yang dianggarkan mencecah RM610 juta dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2026, berbanding RM550 juta pada tahun sebelumnya.
"Apabila hasil negeri meningkat, kerajaan mampu melaksanakan pelbagai inisiatif yang bermanfaat kepada rakyat. Dalam Belanjawan 2026 juga, sebanyak 69 inisiatif berfokuskan rakyat telah diumumkan meliputi pendidikan, kebajikan, kesihatan, keterjaminan makanan, pelancongan, belia dan wanita," ujarnya.
Selain itu, Sheikh Umar berkata sektor pelancongan negeri turut menunjukkan perkembangan positif menerusi kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang menyasarkan 25 juta pelawat dengan lebih 200 produk pelancongan ditawarkan.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga telah meluluskan RM10.14 juta bagi 18 projek pelancongan dan pemuliharaan warisan di negeri itu sebagai persediaan memperkukuh kempen pelancongan.
"Sudah tentu tiada pentadbiran yang sempurna. Setiap kerajaan mempunyai ruang untuk diperbaiki dan setiap dasar wajar dinilai.
"Bagi saya, Datuk Seri Aminuddin Harun dan pasukannya telah membuktikan keupayaan mentadbir Negeri Sembilan dengan baik," katanya lagi.
Sehubungan itu, Sheikh Umar menyeru rakyat Negeri Sembilan agar memberikan peluang kepada Aminuddin dan pasukannya untuk meneruskan rekod pentadbiran yang disifatkan telah membawa hasil positif kepada negeri dan rakyat.
Untuk rekod, sejak mengambil alih pentadbiran daripada MB Datuk Seri Mohamad Hassan pada 2018, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan menyamai kerajaan Selangor. Sebelum itu kerajaan BN tidak banyak memperkenalkan bantuan kepada rakyat.




Comments