Maulidur Rasul bukan sekadar ingat kelahiran Nabi, contohi akhlak Baginda - Mustapa
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya hanya tertumpu kepada memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya perlu diterjemahkan dengan menjadikan kecintaan kepada Baginda sebagai pegangan hidup sehingga akhir hayat.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan terbaik dalam seluruh aspek kehidupan sebagaimana telah ditegaskan Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21.
Menurutnya, mengingati Rasulullah SAW bermakna meningkatkan iman, menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada Baginda serta berusaha mencontohi akhlak dan sunnahnya dalam kehidupan seharian.
"Rasulullah SAW bukan hanya menunjukkan bagaimana kita beribadah kepada Allah. Baginda menunjukkan bagaimana seseorang mengurus dirinya, keluarganya, sahabatnya, masyarakat, kaum Muslimin, urusan ekonomi, politik dan pemerintahan, bahkan bagaimana berhadapan dengan orang yang membenci dan memusuhi Baginda," katanya.
Mustapa berkata, Saidatina Aisyah RA ketika ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW menjawab bahawa akhlak Baginda adalah al-Quran, seperti diriwayatkan Imam Muslim.
"Inilah ukuran sebenar cinta kepada Rasulullah SAW, bukan sekadar banyak berselawat dan menyebut nama Baginda, tetapi berusaha menjadikan akhlak Baginda sebagai akhlak kita," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu dibuktikan melalui ketaatan, pengorbanan, akhlak serta kesungguhan mengikuti sunnah Baginda.
Menurut Mustapa, kecintaan kepada Rasulullah SAW juga perlu diterjemahkan dalam hubungan kekeluargaan, urusan ekonomi, kepimpinan dan kehidupan bermasyarakat.
"Sejauh manakah kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW? Adakah cinta itu terlihat dalam akhlak kita kepada keluarga? Dalam kejujuran kita berniaga? Dalam amanah kita memimpin? Dalam cara kita berpolitik?
"Dalam cara kita melayan sahabat dan masyarakat? Dan bahkan dalam cara kita menghadapi orang yang tidak bersetuju atau membenci kita?" soalnya.
Beliau berkata perkara itu merupakan roh sebenar sambutan Maulidur Rasul kerana Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam.
"Semoga kita bukan sekadar menjadi umat yang mengingati kelahiran Rasulullah SAW, tetapi menjadi umat yang menghidupkan sunnah, mencontohi akhlak dan memperjuangkan nilai rahmah yang dibawa Baginda sehingga akhir hayat," katanya.
Dalam pada itu, Mustapa turut mendoakan agar umat Islam dikurniakan kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW dan istiqamah mengikuti sunnah Baginda sehingga akhir hayat.




Comments