KEADILAN Cabang Wangsa Maju menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) untuk penggal 2021 - 2022 dan telah mengusulkan agar parti diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dijangka tidak lama lagi.
Menurut Ketua Cabang, Andre Lai, usul yang dibangkitkan oleh ahli-ahli dalam MATC kali ini dilihat senada dengan kehendak kebanyakkan Cabang di seluruh negara.
"Terdapat 5 usul dibentangkan, namun yang paling utama adalah memperkukuhkan pelaksanaan kempen pilihan raya berkesan dan efektif," katanya.
Dalam ucapan perasmian MATC itu, Andre telah menekankan KEADILAN sebagai sebuah politik yang cukup matang yang senantiasa berada di arus pembaharuan dengan menjadi ‘trend setter’.
Hal itu, berdasarkan rekod KEADILAN sebelum ini yang mencalonkan calon muda dalam pilihanraya, pengundian satu ahli satu undi, pendaftaran ahli melalui atas talian dan pemilihan parti secara maya.
"Sebagai satu parti yang boleh dikatakan agak senior, 23 tahun telah menjadi satu generasi. Kami telah membuktikan kami sebagai satu pergerakan politik yang matang dengan adanya bimbingan ahli veteran dan pada masa yang sama kami mempunyai anak muda yang berwibawa untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara masa hadapan,” kata Andre.
Menurut beliau lagi, MATC yang dirasmikan oleh Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung itu juga menyentuh isu tempatan sebagai teras perjuangan.
ADUN Semambu itu, kata Andre, menggesa supaya KEADILAN mengembalikan “roh” perjuangan untuk rakyat iaitu menyuarakan ritihan rakyat, menyantuni mereka serta mencadangkan penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi oleh rakyat biasa setiap hari.
Selain itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew juga diberi ruang untuk berucap sebagai tuan rumah.
Beliau berharap KEADILAN akan meneruskan kemenangan di Parlimen berkenaan dalam PRU 15 sebagai keutamaan dan tidak membenarkan emosi mengawal seseorang dalam pemilihan parti akan datang.
"Kita mesti memastikan pemilihan yang adil dan aman. Ini amat penting kerana Pilihan Raya Umum juga akan diadakan dalam masa terdekat.
"Kita tidak boleh mempunyai parti yang berpecah belah dengan imej yang tercalar di mata umum untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.
MATC kali ini berlangsung pada sehari sebelum bulan Ramadan bermula dan dihadiri oleh ahli-ahli parti berbilang kaum. Majlis dipengerusikan oleh Mustafa Ghanzafar (Pak Mus), mantan Ketua Bahagian Wangsa Maju yang pertama.
Majlis bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir pada 2.30 petang dengan laungan slogan Reformasi dan “Ayuh Malaysia” sebelum bersurai.
Comments