Masyarakat Orang Asli perlu rebut peluang pendidikan - Exco Selangor
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor menyeru masyarakat Orang Asli di negeri itu merebut peluang pendidikan sehingga ke peringkat lebih tinggi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi sekali gus membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.
Exco Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai platform termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan masa depan lebih baik kepada generasi muda.
"Kerajaan Negeri menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) turut sediakan pendidikan percuma dan asrama dalam pelbagai sektor kemahiran termasuk kepakaran dalam dron," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya hadir ke Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Pelajar Orang Asli Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di Shah Alam pada Ahad.
Seramai 13 pelajar Orang Asli dari Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Petaling yang mencapai keputusan cemerlang menerima wang tunai serta plak penghargaan sebagai pengiktirafan.
Sementara itu, Papparaidu menyeru ibu bapa dan ketua komuniti memainkan peranan aktif memastikan golongan belia Orang Asli tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Jumlah pelajar cemerlang dalam kalangan masyarakat itu jelasnya menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha memperluas akses pendidikan.
"Kita ada hampir 22,000 Orang Asli di Selangor, tok batin perlu memainkan peranan memastikan golongan ini dibangunkan termasuk berkaitan bantuan disedia Kerajaan Neger demi kejayaan kampung masing-masing," tambahnya.




Comments