top of page

Masyarakat dunia perlu kecam kebiadaban Israel - PM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Feb 3, 2023
1 min read


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Malaysia menyatakan pendirian mengutuk keganasan rejim Israel terhadap warga Palestin.


Ketegasan itu dinyatakan Anwar melalui satu kenyataan media susulan insiden serangan terbaru rejim kepada tahanan di kem pelarian Jenin di Tebing Barat.


"Malaysia merakamkan rasa simpati, takziah dan mendoakan kepada keluarga ramai rakyat Palestin terbunuh dan cedera kerana pencerobohan Israel baru-baru ini di kem pelarian Jenin.


"Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin dan menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka dan perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan daripada pendudukan haram Israel sekali gus merealisasikan aspirasi mereka untuk menjadi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara," katanya.


Pada 26 Januari lalu, kem pelarian Jenin di Wilayah Tebing Barat dihujani peluru berikutan serbuan pasukan keselamatan Israel yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin.


Sementara itu dalam kenyataan sama, Anwar menggesa masyarakat antarabangsa supaya memastikan rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah tersebut dan meminta penguasa Zionis tersebut menghentikan serta-merta tindakan kejam dan ganas.


"Malaysia menyeru kepada semua pemimpin dunia berfikiran wajar dan mereka yang merdeka supaya mengutuk pembunuhan warga Palestin oleh pihak berkuasa Israel," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page