Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan dicadangkan agar memasukkan isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam kurikulum pendidikan di negara ini supaya rakyat lebih memahami asas pembentukan negara ini dengan lebih mendalam.
Perwakilan Sabah, Antakor Rasam berkata perjanjian tersebut boleh dianggap sebagai suiz pembentukan Malaysia yang melibatkan tiga wilayah merdeka iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Oleh itu pada kesempatan ini saya ingin cadang MA63 dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan supaya tidak ada curiga antara kita. Selama ini seolah-olah disimpan dan dirahsiakan.
"Siapa yang mengungkit MA63 kalau dulu ditahan ISA. Perkara sangat penting dokumen pembentukan negara bangsa perlu diajar dan dipelajari semua rakyat Malaysia," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Antakor berkata mengabaikan Perjanjian MA63 bermakna ingin memadamkan Malaysia dari peta dunia dan negara ini tidak wujud tanpa pemeteraian dokumen tersebut.
Jelasnya, selama lebih 60 tahun bersama rakyat Sabah dan Sarawak masih tercari-cari nikmat kemerdekaan dan manfaat kebersamaan dalam Malaysia.
"Mengapa tidak, kerana sekarang Sabah menjadi jutawan fakir, kaya dengan sumber alam semulajadi tapi nombor dua tiga termiskin dengan kadar miskin tegar yang tertinggi di Malaysia. Jalan raya kami di Sabah cantik macam di bulan. Keretapi pun boleh tahan dari dulu sampai sekarang begitu-begitu juga.
"Kerana itu sebablah Sabah dan Sarawak nakal sedikit selalu ungkit MA63, minta tambah kawasan Parlimen dan minta tunai apa yang dijanjikan," katanya.
Beliau juga mahu Sabah dan Sarawak dilihat sebagai sebuah wilayah dengan agihan kekayaan diberi secara saksama selain sambutan Hari Malaysia diadakan bersama di seluruh negara.
"Saya faham rakan-rakan di Semenanjung bila datang Sabah pakai pasport tetapi apabila berbelanja masih guna ringgit Malaysia," katanya.
Comments