top of page

Masuki zon merah: Jangan halang flotila kemanusiaan ke Gaza - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 30
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak ketika misi bantuan kemanusian oleh Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki zon kuning di Lautan Mediterranean.


Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, ketua kerajaan Malaysia itu berkata sebarang tindakan sedemikian akan menambah derita penduduk Palestin yang sudah berada dalam keadaan kritikal.


"Sebagai penaung inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza, Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel," kata Tunku Nashrul dalam taklimat harian di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini, selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia MADANI.


"Keberanian serta ketabahan para aktivis yang membawa misi amanah ini amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza," ujar beliau.


Kata Nasrul, Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati mendoakan keselamatan serta menyalurkan sokongan berterusan kepada usaha kemanusiaan yang murni ini.


Terdahulu laporan media tempatan menyebut konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai 400 pelayar antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia dilaporkan berjaya memasuki zon kuning tahap dua, kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan atau 3 petang tadi waktu Malaysia.


Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, jarak terkini konvoi kini berada 227 batu nautika daripada pesisiran Gaza.


"Konvoi dijangka memasuki zon merah pada pukul 7 petang esok waktu Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Sumud Nusantara Command Center.


GSF yang membawa bantuan kemanusiaan meliputi bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dengan peserta terdiri daripada sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.


Mereka memulakan pelayaran dari Barcelona pada bulan lalu.


Untuk rekod, memasuki zon merah bermakna konvoi GSF akan menghadapi tentera laut Israel yang mengepung wilayah Gaza di laut. Detik ini amat kritikal sama ada Israel akan menggunakan senjata berat, unit komando dan sebagainya untuk menggagalkan misi kemanusiaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page