
Semua pihak dinasihatkan untuk bersikap terbuka dengan garis panduan ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) demi mengelak berlaku perpecahan umat Islam.
Exco Agama Islam Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2023 semalam telah sekali lagi menekankan arahan menghalang usaha untuk menjadikan institusi masjid sebagai medan menyebarkan ideologi politik.
Jelas Mohd Zawawi, titah itu turut disambut baik semua ketua agama Islam negara yang bersetuju supaya masjid dan surau diperkasa fungsinya sebagai pusat penyatuan ummah.
"Ketua agama Islam di Malaysia bersetuju bahawa institusi masjid dan surau tidak boleh dijadikan medan untuk berpolitik dan mengembangkan ideologi atau fahaman tertentu hingga mengundang kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.
"Justeru, selaku Exco Agama Islam Selangor saya mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih titah Baginda yang tegas dan berpandangan jauh dalam usaha menyatupadukan ummah ini semasa istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bimbang budaya menjadikan masjid dan surau sebagai medan propaganda politik kepartian akan memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu.
Menurut Baginda terdapat penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau mengambil kesempatan menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.
"Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu.
"Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya," titah Baginda.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Mohd Zawawi turut menjunjung kasih atas ketegasan Sultan Sharafuddin menjaga kesucian institusi agama dari anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah.
Hal itu susulan langkah pihak berkuasa agama Selangor hanya membenarkan individu berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Mais sahaja dibenar memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid dan surau seluruh negeri itu.