Masjid Madani lambang pembangunan Islam berteraskan nilai, akhlak
- Suara Keadilan
- Mar 30
- 2 min read

Masjid Madani yang kontroversi melibatkan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman tetapi dapat diselesaikan dengan baik akan menjadi lambang pembangunan Islam berteraskan nilai dan akhlak dalam masyarakat pelbagai kaum.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, masjid itu juga kelak akan mengingatkan umat Islam Malaysia mengenai watak pendamai dan perunding yang baik dimiliki Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan sengketa antara agama.
Hal itu juga, katanya, hampir menyamai perkara yang dilakukan Anwar apabila tercetus pertikaian melibatkan kuil di Pulau Pinang pada 1998 lalu.
"Pada 10 akhir Ramadan ini kita dapat menyaksikan Masjid Madani bakal dibina. Mendengar ucapan Datuk Mohamed Faroz Mohamed, Pengarah Urusan JAKEL mengenai usaha ini menjelaskan segala-galanya.
"Penantian lebih 11 tahun menunaikan hasrat ayahandanya untuk membina masjid, kini dapat direalisasikan. Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan semua pihak yang terlibat menyelesaikan isu ini.

"Ini mengingatkan kita isu Masjid Kampung Rawa pada 1998, di mana PMX pada waktu itu menjadi watak penting menyelesaikan isu yang sama secara harmoni.
"Setelah 27 tahun, PMX sekali lagi menunjukkan kebijaksanaan dengan penuh hikmah menangani isu ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr Zulkifli, pembinaan masjid tersebut kelak akan mengatasi kekurangan tempat solat di kawasan Dang Wangi dan sekitarnya.
"Masjid Madani akan mengurangkan isu kesesakan masjid, khususnya sewaktu Solat Jumaat kerana ketika ini hanya surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta Masjid India yang menjadi tumpuan orang ramai.
"Insya-Allah, masjid yang dibina Kumpulan Jakel ini mempunyai keluasan 12,142 kaki persegi dan setinggi empat tingkat didirikan dengan konsep intipati Malaysia berkemampuan menampung hampir 3,000 jemaah dalam satu masa
"Masjid Madani melambangkan pembangunan berteraskan akidah Islam, nilai, akhlak, serta kasih sayang merentasi komuniti.
"Pembinaan masjid di tengah kota itu menyerlahkan falsafah pembangunan yang berakar daripada akidah Islam, bukan sahaja untuk menghimpunkan umat Islam tetapi juga seluruh anggota masyarakat," katanya lagi.
Dr Zulkifli berharap pendekatan berunding dan berhikmah akan terus menjadi amalan rakyat Malaysia tidak mengira apapun agama pada masa hadapan.
Comments