Penduduk Kg Sungai Baru, Kampung Bharu, Kuala Lumpur merayu agar diberi tempoh yang lebih lama untuk mereka berpindah berbanding notis yang mewajibkan penduduk mengosongkan kediaman pada Januari 2023.
Menurut salah seorang penghuni rumah teres di kawasan itu, Shamsiah Masoud (gambar, atas), pemaju pernah berjanji akan membayar pampasan sebelum berakhir bulan Disember 2022.
Namun katanya ada dalam kalangan pemilik rumah di situ yang masih belum dibayar pampasan tetapi telah dikeluarkan notis pindah.
"Kami menunggu sebab ada di kalangan kami yang dah mohon ke tempat baru, ada dah bayar duit 10% (deposit) rumah (baru). Proses pindah bukan sehari atau sebulan. Rumah transit yang diberikan pun belum sempurna.
"Sebelum selesai bulan Januari kami perlu pindah. Kami mahu masa yang cukup, pampasan tak sebesar mana. Kalau dapat cepat rumah (pada harga mampu milik maka) pindah cepat, kalau perlu balik kampung, lebih besar kosnya.
"Kami minta sangat bila kami ajukan kepada Menteri dahulu mereka kata tidak dapat tolong apa apa. Sekarnag kami minta (tolong kepada) Perdana Menteri yang baru," katanya
Seorang lagi yang mahu dikenali sebagai Wan Normasyusha pula berkata, beliau antara 9 pemilik kediaman yang dijanjikan pampasan tetapi masih belum menerimanya. Bagaimanapun beliau telah diarah berpindah.
"Kami antara pemilik di Kg Sg Baru. Saya antara 9 orang yang dijanjikan pampasan tetapi masih belum menerima pampasan sehingga hari ini.
"Kami ada menghubungi pihak pemaju tetapi pemaju maklumkan sehingga bulan Januari pembayaran belum tentu akan diterima. Saya harap Pejabat Tanah mengambil tanggungjawab ke atas perkara ini
"Kami mohon selesaikan masalah," katanya.
Pengusiran penduduk Kg Sg Baru menggunakan Akta Pengambilan Tanah telah dibantah sebelum ini oleh pimpinan Pakatan Harapan yang berharap hal berkenaan dibatalkan kerana tindakan kerajaan BN sebelum ini tidak mengikut undang undang, menggunakan akta tersebut untuk melakukan pengambilan paksa ke atas hartanah yang bukan untuk kegunaan orang ramai tetapi khusus syarikat pemaju.
Comments