Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memulakan semesta baharu pada 16 Oktober ini, namun terdapat hampir seribu pelajar yang belum mendapat tempat penginapan.
Menurut ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UUM harus segera menangani masalah tersebut kerana daripada aduan yang beliau terima ada pelajar yang telah membuat permohonan sejak bulan Ogos lalu.
"Apabila pelajar bertanya kepada pihak universiti menggenai status permohonan penginapan, mereka hanya mendapat alasan permohonan masih dalam proses
"Disebabkan Ahad ini akan bermula kelas, para pelajar telah pun kembali ke kampus pada hari Khamis untuk persiapan pelbagai urusan. Namun ramai yang masih belum mendapat asrama dan terpaksa tumpang di bilik kawan, malah ada yang bermalam di masjid, surau atau koridor.
"Ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian tinggi. Pihak pengurusan tidak sepatutnya membiarkan pelajar bermalam di tempat terbuka, berisiko terdedah kepada pelbagai bahaya. Ini jelas menunjuk sikap tidak bertanggungjawab pihak pengurusan universiti tersebut," katanya.
Timbalan Pengarah Biro Pembangunan Modal Insan KEADILAN itu berkata, disebabkan lokasi UUM di Sintok agak terpencil dan kekurangan rumah sewa maka pelajar UUM tidak mempunyai tiada pilihan selain menetap di asrama universiti.
Tambahnya, ini kali pertama dalam sejarah UUM mengalami masalah ketidakcukupan penginapan yang mungkin disebabkan pengambilan pelajar baharu berlebihan tanpa perancangan dan persediaan awal.
"Bagi menyelesaikan masalah ini saya menyeru pihak universiti segerakan pengumunan keputusan permohonan penginapan. UUM juga perlu menempatkan pelajar ke dalam bilik kosong secepat mungkin.
"Sekiranya pihak universiti tidak dapat menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat, saya mencadangkan UUM melaksanakan kelas mod atas talian buat sementara waktu, sehingga semua masalah penginapan pelajar diselesaikan," katanya.
Simon Oii yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN turut mengkritik pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang tidak melakukan perancangan dan persediaan dalam pengambilan pelajar baharu, seterusnya menyebabkan isu ketidakcukupan penginapan pelajar berlaku di banyak universiti awam.
"Pengambilan pelajar universiti dibuka kepada lebih banyak orang untuk melanjutkan pelajaran, namun ia harus memastikan kebajikan semua pelajar dibela serta mutu pengajaran dijamin.
“Malangnya, dalam ranking universiti yang baru dikeluarkan oleh Times Higher Education, tiada sebuah universiti di Malaysia yang memasuki dalam senarai 350 universiti terbaik dunia, ini turut menunjukkan kegagalan KPT dalam membekalkan pendidikan tertiari yang berkualiti untuk pelajar.
“Universiti merupakan tunjang kemajuan negara, saya berharap kerajaan supaya memberi peruntukan khas kepada universiti-universiti awam bagi tujuan pembinaan asrama baharu serta senggaraan kemudahan kampus untuk mewujudkan suasana universiti yang selesa dan kondusif kepada mahasiswa-mahasiswi yang menuntut ilmu," katanya lagi.
Commenti