Masalah kewangan kelab merosotkan mutu bola sepak negara - Farhash



Masalah kewangan yang sering melanda kelab atau persatuan bola sepak negeri di Malaysia menyebabkan mutu bola sepak negara semakin merosot.


Menurut calon Naib Presiden KEADILAN, Farhash Wafa Salvador, masalah yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu itu menyaksikan banyak kelab atau persatuan negeri gagal membayar gaji para pemain.


Beliau bagaimanapun mezahirkan rasa gembira kerana masalah yang menimpa pasukan bola sepak di negeri kelahirannya, Perak telah berjaya diatasi setelah ditaja oleh syarikat XOX Berhad.


"Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada XOX Berhad yang seminggu yang lalu diumumkan sebagai pemilik baru Perak FC. Semoga berakhirlah kemelut kewangan pasukan itu yang berpanjangan selama hampir dua tahun di mana mangsanya adalah para pemain dan pegawai pasukan yang bergantung kepada bolasepak sebagai mata pencarian mereka.


"Namun Perak FC bukanlah yang pertama dilanda kemelut kewangan, di mana isu tunggakan gaji pemain menjadi masalah utama. Perkara ini telah berulangkali berlaku sejak sedekad lalu, setiap tahun ada sahaja pasukan yang gagal melunaskan gaji pemain. Adakalanya hingga setahun," katanya.


Malah masalah pembayaran gaji itu, kata Farhash masih terdengar sehingga menjelang Aidilfitri tahun ini terkait pasukan Liga M apabila terdapat pemain tidak dibayar gaji dan berhari raya dengan penuh kedaifan.


"Nampaknya penyakit yang sebelum ini melanda pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier, kini sudah merebak ke liga-liga bawahan pula. Perkara ini harus dianggap sangat serius atas dua sebab.


"Pertama, ia adalah satu kegagalan pengurusan bagi memenuhi tanggungjawab asas yang paling utama sebagai sebuah entiti profesional. Para pemain, jurulatih dan pegawai teknikal pasukan-pasukan ini memberikan komitmen mereka kepada sukan ini atas sebab ia adalah sumber mata pencarian. Maka kegagalan kewangan akan memudaratkan kehidupan mereka.


"Kedua, kegagalan ini sudah tentunya membuka ruang kepada keterlibatan tauke-tauke judi atau bookie untuk mendampingi pemain-pemain yang mengalami kesempitan hidup, apatah lagi mereka yang sudah berkeluarga. Ini membuka pintu kepada gejala rasuah yang pernah membawa malapetaka kepada bolasepak kita berulang sekali lagi," katanya.


Calon Ketua cabang KEADILAN Gombak itu khuatir masalah pemain hilang pertimbangan dan mengambil rasuah untuk mengatur perlawanan bagi mendapatkan kewangan menanggung diri sendiri atau keluarga akan kembali menggegarkan sukan bola sepak negara.


Hal itu, katanya perlu difikirkan oleh Menteri Belia dan Sukan dan kerajaan Malaysia demi memperbaiki mutu bola sepak negara.


"Jangan lupa, bolasepak kita pernah digoncang skandal rasuah terbesar dalam sejarah sukan pada tahun 1993 apabila kita kehilangan ratusan pemain-pemain utama liga .


"Peliknya ialah, ekoran skandal itu rumusan yang dilakukan penguasa-penguasa bola sepak ialah untuk bergerak ke arah bola sepak profesional bagi memastikan pemain-pemain dapat meningkatkan pendapat mereka, seterusnya menghindari rasuah. Namun, hampir 30 tahun kemudian, kita seperti menjemput gejala itu kembali menghantui," katanya.


Menurut mantan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak itu, usaha penghindaran rasuah harus bermula dengan pihak Malaysia Football League (MFL) mengambil serius kegagalan pengurusan kewangan dengan mewujudkan mekanisme perlesenan bagi mereka yang terlibat dan bertanggungjawab ke atas pengurusan kewangan setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam liga.


Hal itu kerana, katanya, walaupun isu kegagalan pengurusan kewangan tidak putus-putus berlaku namun belum ada tindakan terhadap pegawai-pegawai yang memegang tanggungjawab ke atas perancangan dan pengurusan kewangan.


Tindakan ke atas pasukan dalam bentuk pemotongan mata liga sebaliknya hanya akan terus membebankan pemain-pemain pasukan tersebut.


"Perlu ada satu mekanisme untuk mewujudkan akauntabiliti dalam pengurusan pasukan-pasukan profesional ini bagi mengenalpasti punca kegagalan pengurusan kewangan dan memastikan mereka yang bertanggungjawab samada tidak mengulangi atau digantung penglibatan mereka dalam sukan. Ini akan melindungi hak-hak pemain-pemain sebagai pemegang taruh utama dalam sistem bola sepak kita.


"Ini harus disekalikan dengan satu tekad untuk tidak mengamalkan 'double standard' dalam penguatkuasaan, kerana kita sudah tentu maklum ramai di kalangan pegawai-pegawai tidak bertanggungjawab ini sering terlepas kerana pengaruh politik.


"Saya difahamkan sedang dalam pertimbangan ialah satu sistem francais di mana pasukan-pasukan diwajibkan mendapatkan jaminan bank untuk jumlah peruntukan gaji pemain setiap musim sebagai satu kriteria, tetapi tidak pasti bilakah akan dikuatkuasakan.


"Saya berharap baik pulih secara total dapat dilakukan supaya bola sepak kita dapat bergerak ke hadapan tanpa ditempangkan oleh kegagalan tanggungjawab asas seperti ini," katanya lagi.


Tegas Farhash, pasukan negara seharusnya menjadi lebih baik dan kembali kepada era kegemilangan bola sepak negara pada 1970 - 1980an lalu.


Beliau turut mendoakan agar pasukan negara yang sudah tiba di Hanoi, Vietnam bagi temasya Sukan Sea ke-31 akan maju jaya juga akan ada sinar baru dalam sukan yang akan muncul dalam kalangan atlet-atlet muda Malaysia di temasya kali ini.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER