Masalah kemudahan di stesen LRT, MRT selesai kurang sebulan
- Suara Keadilan
- Dec 24, 2022
- 2 min read

Belum sebulan dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke telah berjaya memastikan masalah kemudahan bagi pengguna di stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) diselesaikan.
Rapid Rail Sdn Bhd melalui laporan media memaklumkan kerja-kerja pembaikan kerosakan dan naik taraf fasiliti di stesen LRT, MRT dan monorel di sekitar Lembah Klang telah dimulakan dengan ketersediaan operasi lif di semua stesen berada pada tahap 99 peratus.
Manakala 10 eskalator di 10 stesen MRT yang rosak sebelum ini telah selesai dibaiki.
"Prasarana Malaysia Berhad turut menambah 18 unit lif dan 39 unit lif platform kerusi roda di stesen monorel bagi memenuhi keperluan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Setakat 15 Disember lalu, proses penggantian 20 unit 'handrail' dan tiga unit 'stepchain' di 10 stesen MRT telah disiapkan dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi," kata laporan berkenaan.
Pada 8 Disember lalu, Anthony Loke dalam lawatan kerja ke Prasarana memaklumkan, semua lif di 16 stesen monorel sekitar Lembah Klang tidak berfungsi.
Sementara sebanyak 46 daripada 706 eskalator didapati gagal berfungsi.
Beliau yang memetik laporan audit turut memaklumkan dari aspek pencahayaan sebanyak 664 lampu tidak berfungsi, 17 loksi pula dikesan mengalami kebocoran.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan masalah dibangkitkan segera mengarahkan usaha dilakukan untuk membaiki dan mengganti kemudahan yang rosak.
Sementara itu, Rapid Rail berkata ada antara kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki.
Justeru projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.
Mereka turut memberitahu, proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan.
Mengenai sistem pencahayaan di stesen pula, mereka memaklumkan kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen hampir selesai dijalankan.
Comments