
Masalah capaian internet yang kurang stabil apabila banyak wartawan menggunakan kemudahan tersebut di Parlimen secara serentak antara yang disuarakan dalam lawatan Menteri Komunikasi dan Digital ke Bilik Media Parlimen, pagi tadi.
Fahmi yang melakukan kunjungan tersebut bersama timbalannya Teo Nie Ching dan pegawai tinggi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Ketua Pengarah RTM kemudiannya mengadakan sidang media dan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah berkenaan sebelum sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan serentak.
"Kami telah datang untuk melawat Pusat Media Parlimen untuk memahami serba sedikit suasana, isu dan juga cabaran oleh warga media di Pusat Media Parlimen.
"Saya merasakan ada beberapa perkara yang perlu ditangani. Isu internet sebagai contoh yang ramai rakan rakan wartawan bangkitkan. Mungkin berkaitan isu teknikal bila ramai gunakan pada satu masa untuk live streaming dan bandwidth akan terkesan.
"Kami akan teliti untuk cari penyelesaian segera terutama Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang serentak," katanya.

Selain itu, beliau juga respons kepada permintaan wartawan yang mahu disediakan Menu Rahmah di kafeteria Parlimen kerana perlukan harga makanan dalam kadar berpatutan bagi kalangan wartawan yang tidak berpendapatan tinggi.
"Masa sama beberapa permintaan rakan media, contohnya Menu Rahmah dipanjangkan ke Parlimen. Jadi saya lihat ada keperluan.
"Saya, sewaktu kami di pihak pembangkang memang rata rata Partimen sebagai tempat rakyat datang, tetapi harga tidak mesra rakyat, keadaan terkesan. Ini bukan kuasa saya tetapi ada kewajaran. Kalau orang ramai datang harga perlu rahmah.
"Yang dibangkitkan rakan media kita teliti," katanya.
Lawatan Fahmi dan delegasinya pagi tadi bagi meninjau persiapan pasukan media menjelang sesi penting pembentangan Belanjawan 2023 dijadual pada petang esok.