Masalah fasiliti kesihatan Bandar Puteri Jaya dibawa ke parlimen
- Redzuan Shamsudin

- Oct 9, 2023
- 2 min read

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berjanji akan membawa masalah penduduk Bandar Puteri Jaya yang mahukan klinik kesihatan dibina di kawasan mereka kepada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, beliau prihatin dengan masalah penduduk di bandar baharu tersebut yang mengalami kepesatan pertambahan populasi dalam 5 tahun terakhir.
"Saya menerima keluh kesah serta suara hati dari warga Sungai Petani terutamanya di kawasan Bandar Puteri Jaya yang memohon satu fasiliti kesihatan diwujudkan di kawasan terbabit.
"Saya dimaklumkan penduduk di kawasan Bandar Puteri Jaya dan sekitar terpaksa pergi jauh ke Klinik Kesihatan Taman Intan, Klinik Kesihatan Bakar Arang serta Klinik Ibu & Anak di Pekan Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan kesihatan.
"Keadaan ini agak menyukarkan mereka kerana terpaksa melakukan perjalanan yang lama serta jauh," kata Taufiq dalam kenyataan.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah itu, beliau telah memanjangkan perkara tersebut dalam pertemuan bersama Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda baru baru ini dan mendapat penjelasan pembangunan masa hadapan kemudahan keshiatan di kawasan terbabit.
"Saya bersama dengan ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek telah mengadakan pertemuan bersama Dr Suziana, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda serta pasukan beliau untuk mengetahui perancangan pihak Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengatasi isu ini.
"Pada pertemuan itu, pihak Pejabat Kesihatan Daerah membentangkan Perancangan Projek Pembangunan Fasiliti Kesihatan PKD Kuala Muda melalui kajian mereka.
"Dalam perancangan ini ada disebutkan mengenai cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membina satu 'Kompleks Kesihatan Awam' di Bandar Puteri Jaya yang dilengkapi oleh PKD serta unit-unit kesihatan yang lain seperti Wellness Hub, Lab dan sebagainya," katanya.
Oleh itu, kata Taufiq, langkah selanjutnya ialah membawa isu pusat kesihatan berkenaan ke sidang parlimen yang sedang berlangsung minggu ini sehingga 30 November bagi menyatakan secara rasmi keperluan mendesak penduduk di Bandar Puteri Jaya.
Kemudian memanjangkannya kepada Kerajaan Persekutuan bagi dipertimbangkan pembinaan kemudahan kesihatan berkenaan.




Comments