Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tidak peduli sama ada beliau diperli dalam sidang DUN di negeri pembangkang Kedah baru baru ini.
Dalam satu catatan di media sosial, Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan beliau hanya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai timbalan menteri menghadapi kelewatan projek Loji Rawatan Air Bukit Selambau yang diluluskan dana oleh Kerajaan Persekutuan tetapi dibina oleh agensi Kerajaan Negeri Kedah dan mengalami kelewatan daripada jadual asal.
"Saya hanya buat kerja saya tetapi disebut dan seperti diperli oleh MB Kedah dalam sidang DUN ?
"Saya sedar walaupun saya hanyalah seorang timbalan menteri, tanggungjawab memulihkan masalah bekalan air ini sangat berat dan tak boleh dilengahkan lagi," katanya.
Beliau menegaskan, tidak mahu mendengar alasan pihak Kerajaan Megeri atau kontraktor mengenai kelewatan berkenaan kerana kenaikan kos bahan binaan. Katanya, LRA Layang2 di Johor yang tarikh mula bina hampir sama berjaya disiapkan mengikut jadual.
Katanya, kelewatan tersebut hanya menyebabkan penduduk di Sungai Petani dan kawasan sekitar terpaksa berpuasa dalam keadaan gangguan bekalan air.
"Tak apalah nak kata macam-macam, orang derita tak ada air nak puasa ini pun lebih perit berbanding caci makian terhadap saya.
"Saya dan team akan terus bantu setakat yang termampu," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji sikap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memintanya meninjau dan meneliti operasi bekalan air di negeri tersebut sekiranya perlu ditambahbaik pada masa hadapan.
"Dalam pada itu, Tok Min sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan telah menjemput saya dan team untuk teliti bekalan air di Negeri Sembilan.
"InshaAllah kita tengok apa yang boleh dibuat," katanya lagi.
Projek LRA Bukit Selambau mengalami kelewatan kerana kerajaan Kedah sebelum ini tidak mengemukakan Notis Perubahan (NOC) kepada kementerian setelah berlaku kenaikan kos yang melangkaui harga siling bahan binaan pada tahun lalu sehingga menyukarkan konraktor untuk menyiapkan projek.
Comentários