Usai Pilihan Raya Umum ke 15 dan dilantiknya Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara maka kini masanya untuk bekerja.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke parlimen Tambun, petang ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen di kawasan itu mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pengundi di sana kerana memilih untuk bersama sama melakukan agenda perubahan di Perak dan peringkat Persekutuan.
"PRU telah berlaku dan sekarang menumpukan untuk bekerja. Rakyat sama ada memilih parti kerajaan atau pembangkang mengkehendaki nasib mereka dibela, masa depan terjamin, pendidikan anak lebih bermutu, kos sara hidup terkawal, kesihatan lebih baik, prasarana lebih baik.
"Ini semua boleh berlaku sekiranya kita mula dengan contoh yang baik. Kepimpinan itu tanggungjawab bukan keistimewaan. Kekuatan kita utamakan, ada kelemahan kita ketepikan, manakala harta rakyat yang dipunggah beberapa kerat wajib dihentikan segera," katanya.
Selain itu, Anwar juga gembira kerana pertemuan beliau bersama Ketua Setiausaha Negara dan ketua ketua agensi Persekutuan amat positif dan mereka berjanji untuk menyokong reformasi yang akan dibawanya.
"Saya lihat kesungguhan mereka untuk bawa perubahan, untuk membawa kebaikan kepada rakyat.
"Saya juga beberapa kali berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan pelantikan jemaah menteri dilakukan segera. Yang layak ratusan orang, terpaksa dipilih. Itu tentunya lebih terbatas kerana kita tidak mahu terlalu ramai menteri, duta bertaraf menteri, kerana kita nak jimatkan wang supaya dapat dipulangkan balik kepada rakyat," katanya.
Anwar berharap tiada lagi serangan dilakukan ke atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri kerana pihak yang menyerang itu juga pernah menjadi PM dan kesannya tidaklah seberapa kepada kehidupan rakyat.
"Sekarang giliran saya, bulan lalu giliran orang lain, dua tahun lalu orang lain, empat tahun lalu orang lain.
"Kita doakan orang ini (Anwar) kekal sepenuh penggal. Untuk pastikan tumpuan ekonomi, kemiskinan, kenaikan harga barang keperluan diatasi
"Sebaik disusun menteri, saya akan panggil mesyuarat untuk beri panduan mereka urus pentadbiran, cara berdamping dengan penjawat awam, cara lakukan pengumuman dasar dan cara berjimat sebagai contoh tidak membelanjakan lebih daripada sepatutnya," katanya lagi.
Anwar juga berharap dengan pemerintahan yang diyakini di peringat antarabangsa, pengukuhan nilai ringgit akan berterusan dan import Malaysia tidaklah semahal sekarang serta sekali gus dapat mengurangkan harga di pasaran.
Comentarios