
Pemilihan KEADILAN 2022 harus dijadikan platform untuk mengukuhkan parti menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, kelompongan kepimpinan yang ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu perlu diisi dengan tokoh tokoh yang berkualiti, dan memperjuangkan politik berbilang kaum.
Oleh itu, bagi menyahut cabaran sedemikian, Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Menteri Besar Selangor itu menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden KEADILAN dalam pemilihan parti pada bulan Mei ini.
"Pemilihan KEADILAN 2022 masa untuk kita semua memperkukuhkan parti bagi mengisisi kelompongan kepimpinan yang ditinggalkan oleh pemimpin yang tidak bertanggugjawab.
"Menjadi tanggungjawab kita sebagai anggota untuk memastikan parti terus intek dan dapat memberi sokongan kepada Institusi Presiden yang dipimpin oleh Saudara Anwar Ibrahim.
"Selepas saya mendapatkan nasihat serta pandangan daripada Presiden KEADILAN, rakan-rakan pimpinan dan anggota akar umbi, maka, dengan rasa penuh rendah diri dan insaf, saya Dr Gunaraj George menawarkan diri sebagai calon bagi memikul tanggungjawab besar jawatan Naib Presiden KEADILAN untuk sesi 2022-2025.
"Berbekalkan pengalaman saya sebagai aktivis parti dan Ahli Dewan Negeri Selangor, saya membawa satu tekad baharu bagi menggarap segala kekuatan akar umbi bagi mendokong Institusi Presiden mendepani Pilihan Raya Umum kelak," katanya ketika Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Kota Raja, petang ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar KEADILAN terus memperkasakan politik pro-rakyat marhaen kerana katanya rakyat telah muak dengan politik elit yang menguasai negara tetapi membiarkan kehidupan rakyat sensara.
"Saya menyeru semua pejuang KEADILAN agar kita terus membawa agenda memperjuangkan nasib rakyat marhen.
"Rakyat sudah muak dengan percaturan elit, rakyat mahu pemimpin yang bekerja dan berkhidmat. Bangkit, kita semua rapatkan saf pejuangan, teguh hati, kita wajib bergerak seiring dan senada untuk memastikan agenda reformasi terus menjadi tunjang perjuangan kita," katanya.
Dr Gunaraj juga mengingatkan penyatuan kepimpinan dan perjuangan rakyat penting kerana dengan cara itulah KEADILAN bertahan daripada badai pengkhianatan Langkah Sheraton yang lalu
"KEADILAN kekal utuh meskipun beberapa nama besar telah pergi sejak Langkah Sheraton yang lalu. KEADILAN bukan milik individu, parti ini milik rakyat dan mana-mana pemimpin boleh keluar tetapi parti tetap utuh.
"Kita menempuh pelbagai dugaan dan ujian sejak dahulu, namun parti ini tidak lumpuh disebabkan pengkhianatan beberapa orang pemimpin.
"Kita lalui PRU11, 12 dan 13 dengan sabar dan tabah. Kita semua perlu menginsafi dengan apa yang telah berlaku dan perlu menpunyai satu tekad baharu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat," katanya lagi.
