Masa depan politik PM Ismail Sabri bergantung pindaan Perlembagaan hari ini?



Pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam sidang khas Parlimen hari ini mungkin menjadi penentu masa hadapan politik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkemungkinan sidang hari ini akan menemui jalan berliku kerana Pakatan Harapan (PH) kurang selesa dengan pindaan Perlembagaan tanpa disekalikan Rang Undang undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.


Pindaan terdahulu daripada RUU Akta Anti Lompat Parti, kata Hassan, akan memberi 'cek kosong' kepada kerajaan untuk menyalahgunakan peruntukan yang telah dipinda berkenaan.


"Kalau 11 April ini Kerajaan membentangkan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan, antaranya berhubungan Perkara 10 yang menyentuh kebebasan berpersatuan yang ditafsirkan kebebasan menganggotai mana-mana parti politik, maka persoalannya adakah semua Ahli Parlimen sama ada blok kerajaan dan blok pembangkang akan menyokong RUU Pindaan Perlembagaan tersebut tanpa RUU Anti Lompat Parti dibentangkan sama?


"Pada hemat saya, rasanya sukar Ahli-ahli Parlimen, sama ada di blok kerajaan dan di blok pembangkang akan menyokong RUU tersebut yang memberi kuasa yang amat luas kepada Kerajaan.


"Ahli-ahli Parlimen berhak meneliti RUU Anti Lompat Parti terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang pindaan ke atas Perlembagaan, terutama sekali yang melibatkan perkara asas kebebasan berpolitik rakyat termasuk kedudukan Ahli-ahli Parlimen itu sendiri menyangkut Perkara 10 Perlembagaan .


"Ahli-ahli Parlimen berasa lebih selesa dan terjamin jika sebarang perkara asas berhubung tafsiran lompat parti dimasukkan ke dalam pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, bukannya tafsiran lompat parti itu sekadar dimuatkan di dalam RUU Anti Lompat Parti yang merupakan akta biasa dan hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Hassan lagi, keadaan akan sangat mendebarkan sekiranya PM Ismail hari ini bertegas mahu meneruskan pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan seperti yang telah diluluskan oleh Kabinet dan mahu supaya RUU itu diundi.


Katanya, kemungkinan terjadi RUU pindaan berkenaan tidak akan diluluskan dan memberi tamparan kepada kewibawaan PM.


"Pada pandangan saya, dalam keadaan sekarang besar kemungkinan Kerajaan tidak akan mendapat sokongan majoriti dua pertiga jika pengundian dijalankan


"Kalau hal itu benar-benar berlaku, maka apakah implikasinya?


"Ia membawa makna Kerajaan PM Ismail Sabri kalah di Parlimen dalam pengundian perkara penting berhubung pindaan Perlembagaan. Ini bukan kalah sebarang kalah. Kalah semacam ini membawa tafsiran Ismail Sabri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekiranya jumlah undi yang menyokong RUU Pindaan Perlembagaan itu kurang daripada 112 sokongan.


"Jika itu terjadi, maka suatu krisis Perlembagaan berlaku yang boleh membawa secara konvensyen PM wajar meletak jawatan dan terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Baginda supaya membubarkan Parlimen di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Bagi Hassan, jalan selamat satu satunya yang boleh diambil adalah dengan membenarkan Ahli-ahli Parlimen membahaskan dengan panjang lebar segala isu berkenaan Akta Anti Lompat Parti dan Pindaan Perlembagaan yang bersangkut paut dengannya.


Manakala pengundian ditangguhkan ke satu sidang khas seterusnya bersama sama RUU Akta Anti Lompat Parti.


"Yang semoleknya, tiada pengundian dijalankan terhadap RUU Pindaan Perlembagaan selepas dibahaskan sepuasnya.


"PM Ismail Sabri wajar mengumumkan satu tarikh terdekat dalam tempoh tidak sampai tiga minggu dari sekarang bahawa Kerajaan berakujanji akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti bersekali dengan RUU Pindaan Perlembagaan untuk bacaan kali kedua bagi dibahaskan dan diputuskan melalui pengundian.


"Pada jangkaan saya, waktu itu di pihak Kerajaan dan semua Ahli Parlimen sudah bersedia.


"Rasanya jalan penyelesaian ini boleh diterima oleh kebanyakan pihak blok kerajaan dan blok pembangkang serta kedudukan Perdana Menteri lebih selamat dari serangan dan gugatan Kluster Mahkamah; MoU antara Kerajaan dengan Harapan (PH) boleh masuk fasa kedua; pilihan raya umum boleh diadakan tahun hadapan 2023 dan RUU Anti Lompat Parti lebih mudah diluluskan bersama-sama RUU Pindaan Perlembagaan, selepas perbahasan panjang lebar dan proses penelitian yang terperinci dapat dilakukan," katanya lagi.


Tambah Hassan, pihak Kerajaan perlu menerima hakikat pengundian RUU perlu dilakukan dalam keadaan fikiran yang tenang, dada yang lapang serta tidak terburu-buru terutama dalam penggubalan RUU Anti Lompat Parti yang berkait amat rapat dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER