Masa depan parti di tangan 2110 Perwakilan Wanita KEADILAN - Loh Ker Chean
- Suara Keadilan

- Mar 7
- 2 min read

Wanita KEADILAN memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan parti yang akan mengadakan pemilihan jawatan tinggi kepimpinan pada Mei ini.
Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean, seluruh hirarki parti termasuklah sayap wanita telah diberikan 10 hari untuk melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang yang bermula pada 28 Februari dan akan berakhir pada 9 Mac 2025.
Oleh itu, katanya, semua 222 Wanita Cabang wajib menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) masing masing supaya memenuhi kelayakan untuk menyertai pemilihan cabang 2025, yang mana setiap Wanita Cabang mempunyai 10 perjawatan bakal ditandingkan.
"Setakat ini, pihak Pejabat Setiausaha Wanita Pusat telah menerima Notis Mesyuarat MATWC 2025 daripada 211 Wanita Cabang.
"Sejumlah 112 Wanita Cabang telah berjaya melaksanakan MATWC 2025 dan 98 Wanita Cabang akan melaksanakan MATWC 2025 dalam masa 3 hari akan datang, iaitu pada 7, 8, dan 9 Mac.
"Seramai 2,110 orang perwakilan wanita bakal layak membuang undi untuk memilih pucuk pimpinan parti termasuklah Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN (MPWP) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 24 dan 25 Mei 2025 ini. Pada masa yang sama, sekurang–kurangnya 6,815 orang perwakilan Wanita dijangka layak memilih Ahli MPWP secara dalam talian.
"Dalam hal ini, peningkatan kuota perwakilan wanita memilih Ahli MPP berlaku menerusi kelulusan pindaan perlembagaan parti pada Kongres Khas 15 Disember tahun lalu. Selain hasil kerja keras oleh seluruh saf kepimpinan Wanita KEADILAN yang diterajui YB Fadhlina Sidek, Ketua Wanita Pusat," katanya dalam kenyataan.
Kata Ker Chean lagi, sebelum ini pimpinan wanita di semua peringkat telah bekerja keras menggerakkan organisasi dan berjaya melonjakkan bilangan wanita cabang yang aktif daripada 158 kepada 211, dengan menghidupkan 53 wanita cabang.
Katanya, Wanita Negeri Sarawak merupakan antara negeri yang cemerlang dan mencatat rekod tersendiri dengan melonjakkan bilangan wanita cabang yang aktif daripada 5 kepada 21 dan menghidupkan 16 wanita cabang.
Ujarnya, proses untuk memastikan akar umbi tidak ketinggalan di dalam gerak kerja di samping seruan pendigitalan di peringkat lapangan bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun begitu, puji beliau, negeri Sarawak berjaya mengadaptasi perubahan dasar digital walau pun dengan kesenjangan digital yang lebih ketara.
Semua itu, katanya, hasil idea dan perancangan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina yang bersungguh sungguh melakukan perubahan pengurusan ke arah digitalisasi dan memantapkan lagi keanggotaan.
"Dengan sokongan YB Fadhlina Sidek, Wanita KEADILAN berjaya melaksanakan inisiatif digitalisasi dengan mendigitalkan pengurusan dan pentadbiran Sayap Wanita dan meningkatkan keberkesanan pengurusan dari semua peringkat wanita cabang, wanita negeri dan wanita pusat.
"Justeru, sumbangan beliau dalam meletakkan asas yang kukuh dalam pemerkasaan Wanita untuk generasi akan datang amat dihargai dan beliau wajar dikekalkan sebagai Ketua Wanita Pusat," katanya lagi.









Comments