Masa depan negara ditentukan kualiti manusia, bukan teknologi semata-mata


Sorotan khas intipati Ucaptama PM di WorldSkills Shanghai 2026: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masa depan sesebuah negara tidak ditentukan semata-mata oleh kecanggihan teknologi, limpahan modal atau kepesatan pembangunan, sebaliknya turut bergantung kepada kualiti manusia, ilmu, kemahiran dan nilai yang dimiliki.
Ketika menyampaikan ucaptama pada WorldSkills Shanghai 2026, Anwar berkata manusia merupakan indikator utama yang menentukan arah kemajuan sesebuah negara menerusi ilmu yang dikuasai, kemahiran yang digarap serta nilai yang menjadi pembimbing dalam setiap tindakan.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh TVET 2.0 melalui kerjasama antara institusi latihan dan industri, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
Menurut beliau, Malaysia tidak mahu generasi muda sekadar menjadi tenaga kerja yang menyesuaikan diri dengan perubahan, sebaliknya mereka perlu menguasai perubahan serta bersama-sama mencorak arah dan masa depan negara.
Pesanan kepada 22 anak muda
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan pesanan kepada 22 anak muda Malaysia yang berentap dalam 22 bidang kemahiran di Shanghai supaya menjadikan penyertaan tersebut sebagai ruang untuk bersaing dengan peserta terbaik dunia, menimba pengalaman dan meningkatkan standard kemahiran.
Beliau berkata, kejayaan bukan hanya diukur melalui kemenangan, tetapi turut merangkumi keberanian untuk bersaing, pengalaman yang diperoleh serta tekad untuk membawa pulang ilmu dan pengalaman demi meningkatkan mutu negara.
Anwar turut menekankan bahawa kemahiran perlu disertai nilai bagi memastikan kemajuan yang dicapai tidak tempang dan tidak seimbang.
Katanya, generasi masa depan bukan sahaja perlu cekap mengendalikan teknologi, tetapi turut mempunyai kesedaran terhadap keadilan, maruah insan serta tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Beliau menegaskan bahawa kemajuan hakiki ialah apabila teknologi berperanan mengangkat manusia dan nilai, bukannya manusia serta nilai diketepikan demi kemajuan teknologi.




Comments