'Masa berpolitik sudah selesai kibarkan Jalur Gemilang' - Fahmi
- Suara Keadilan
- Aug 24, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Masa berpolitik sudah selesai, kalau dulu kita kibar bendera parti sekarang kita kibarkan Jalur Gemilang pula, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil.
Menerusi rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata, rakyat pada ketika ini perlu mengutamakan negara tanpa mengira kaum, agama mahupun ideologi politik.
"Harapan sebagai Menteri Komunikasi, rapatkan saf tidak kira bangsa, agama mahupun perbezaan politik kerana negara ini milik kita bersama.
"Sebagai contoh kita zahirkan rasa cinta kepada negara dengan menanam rasa hormat dan sayang kepada Jalur Gemilang agar ia sentiasa mekar di hati," katanya.
Selain itu, Fahmi juga memberi jaminan acara Sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini akan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
"Cadangan untuk mengadakan di Putrajaya kerana ruangnya yang lebih luas dan kita menganggar kehadiran yang lebih ramai iaitu sekitar 100 ribu pengunjung.
"Kemudahan pengangkutan antaranya MRT dan bas juga disediakan bagi memudahkan orang ramai tiba di dataran Putrajaya," katanya.
Menurut Fahmi lagi, orang awam disaran untuk menggunakan bas pengantara bagi memudahkan perjalanan dan boleh melayari laman sesawang merdeka360.my untuk maklumat lanjut.
Mei lalu, Kementerian Komunikasi dan Digital mengumumkan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Tema itu selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
Comments